Friday, February 6, 2009

Terlalu Muda Untuk Perasan, Terlalu Tua Untuk Peduli

Dulu,

Ketika dunia dirasakan hanya siri-siri pengembaraan dipenuhi cabaran yang menyeronokkan, taman permainan paling luas, ketika pertimbangan lebih cetek dari dasar mangkuk cendul, ketika akal lebih pendek dari rambut Billy Corgan, ketika kematangan hanyalah kelebihan anugerah dikurniakan pada mereka yang bertuah. Ketika tanggungjawab dan kewajiban merupakan istilah paling sukar difahami, ketika peraturan dianggap untuk menindas dan hanya wujud untuk dilanggar.

Hidup kami dipenuhi kegembiraan dan kebebasan.

Untuk pergi kerumah kosong dikhabar anginkan berhantu di lewat malam yang hening, menekan loceng pintunya dan bergelak ketawa sambil pecut motosikal, cuba bergurau dengan roh-roh yang tidak tenang.

Untuk merayau tanpa tujuan lewat pagi tatkala warga kota nyenyak dibuai mimpi diatas motosikal, dan menghabiskan masa-masa tidur mengejar jejak sekumpulan gadis-gadis senior yang mengusik kami di lampu isyarat merah. Kerana ya, ketika itu kami amat jambu dan muda.

Untuk terbaring di tengah jalanraya disebuah bandaraya yang paling lenggang didunia sambil bercerita perkara merepek soal hati-hati nipis remaja.

Untuk tanpa dirancang, tiba-tiba himpit beramai-ramai didalam kereta memandu lewat malam 40km ke pusat peranginan sejuk di puncak bukit. Menceroboh taman tema dan pusat beli-belah yang gelap gelita belum tiba waktu operasi. Bergembira kerana akhirnya berjaya mencapai impian kami untuk bermain dengan eskalator setelah berjaya menemui suiz penghidupnya, impian untuk merasai keseronokkan menggelongsor atas gadang tangan eskelator yang sedang bergerak, impian berlumba menaiki eskelator bergerak melawan arus. Tanpa halangan dan kata-kata nasihat penjaga.

Untuk bergelak ketawa lagi dipengaruhi rembesan adrenalin apabila kereta menggelongsor bebas tanpa cengkaman brek apabila menuruni bukit peranginan sejuk, walaupun sedar nyawa dihujung tanduk. Mentertawakan nasib diri kerana tiada stesen minyak beroperasi ketika itu.

Kini kami hanya mampu tersenyum mengenang kisah lama, terpisah tanpa khabar berita, teruskan hidup masing-masing dengan cabaran yang tidak langsung menyeronokkan seperti dulu, cabaran yang tidak dicari, cabaran yang tidak rela dihadapi.

Hidup sebagai manusia yang bosan,

dan dewasa.

3 comments:

Pan said...

true...
da besar sume wat hal masing2...
celaka tol...

FARYN said...

rindu untuk masa silam...

hegira said...

kata kata dan ayat dan bahasa dan apa apa lagi dalam entri lu tak pernah mengecewakan gwe.