Wednesday, May 16, 2012

Kemas Kini

Bila ayah aku diserang strok beberapa minggu lepas, aku rasa helpless. Kemudian bila kedua orang tua aku mula berbicara tentang masa mereka didunia sudah tidak panjang dan kenapa aku masih kelihatan tidak mahu menamatkan zaman bujang dan berbicara soal jodoh, aku bertambah helpless. Rasa ketika itu mahu sms semua nombor perempuan dalam simpanan telefon aku dan tanya setiap seorang dari mereka jika mahu berkahwin dengan aku hari itu juga, hanya untuk buat ayah aku gembira ketika itu. Pemilihan rambang ini tentulah tidak disertakan dengan cinta, kecuali seorang dua yang aku secretly suka.

Tidak kira betapa rasa helplessnya aku ketika itu, aku masih lagi waras dan tidak terdesak seperti itu, walaupun hakikatnya aku mungkin terdesak dan juga tidak punya kemewahan waktu lagi seperti dulu. Beberapa malam bermalam di hospital Pusrawi menemani ayah aku, dikelilingi jururawat cantik, malangnya rasa helpless dan dipresi aku jauh mengatasi rasa teruja aku untuk 'mencuba' salah seorang dari mereka. Apa guna jika perempuan itu cantik dan berbudi bahasa jika mereka tidak ikhlas mahu kongsi tanggungjawab atau sekurangnya memahami kepentingan utama aku sekarang ialah menjaga ayah dan mak aku. Mak aku tak berdaya menjaga ayah aku seorang dan sememangnya ini tanggungjawab aku sebagai anak lelaki paling tua. Jika mereka tidak mahu menerima keadaan ayah aku, jangan harap aku juga mahu menerima mereka. Secretly suka or not. Hot or not.

Bila kau kahwin dengan seseorang, kau juga akan 'berkahwin' dengan ibu-bapa mereka, keluarga mereka,  saudara-mara mereka dan manusia-manusia disekeliling mereka yang menjadikan mereka siapa diri mereka. Perkongsian hidup ini adalah jauh dari hanya berkongsi bayar duit ansuran rumah dan menukar lampin dan membancuh susu anak ditengah malam. That much I already knew. Tidak kira bagaimana kita rasa keluarga masing-masing tiada hak campur tangan urusan hidup kita, sebenarnya kita tidak boleh mengelak dan menjauhkan diri. Tanggungjawab sebagai seorang anak ialah sehingga mati. Walaupun hingga kedua orang tua kita sudah tiada, doa kita masih wajib kita sedekahkan hingga kita pun berhenti bernafas.

Aku rasa ayah aku menjalani kehidupan yang baik, kecuali satu, pengalaman merisik anak dara orang dan menerima kehadiran menantu perempuan pertama. Tidak kira jika aku sudah mewarisi kemahirannya yang diperturunkan seperti mesin rumput, trim dahan pokok dengan gergaji, tukar mentol yang terbakar, nyalakan unggun api, teknik mengacau dodol, tukar tayar kereta pancit, pembakaran lemang yang sempurna dan memastikan minyak hitam kereta sentiasa dalam keadaan baik. Tidak kira jika aku berjaya membanggakannya dengan segala pencapaian aku dalam hidup, sama ada aku pernah mewakili sekolah dalam acara olahraga, menerima pujian dari rakan-rakannya tentang prestasi akademik aku, mendapat pekerjaan yang baik dan segalanya. Apa guna semua itu jika dia mungkin tidak berpeluang dukung cucu dari zuriat aku, bayi yang aku akan perturunkan segala kemahiran hidup yang aku pernah belajar darinya, generasi ketiga dari legasinya.

Apa guna juga semua pencapaian aku dalam hidup jika ianya hanya semakin menjauhkan aku dari kedua orang tua aku. Mengejar dunia hingga mengabaikan mereka. Walau mampu mengupah orang menggantikan tempat dan tanggungjawab aku, percayalah, semua ibu-bapa didunia ini lebih rela dan gembira dimandikan, dibasuh berak kencing mereka, dijaga oleh anak sendiri, ataupun menantu.