Saturday, March 15, 2008

Uncle Ramani 2

Orang tua, suka berkongsi cerita. Hanya kami berdua di smoking shed, aku layankan saja, layankan dengan penuh minat, kerana kisah hidupnya umpama visual bagi irama low-fi yang mengukir senyuman pada pemuda dengan jiwa paling berserabut di dunia. Dia umpama seorang pakcik yang aku tak pernah miliki, indian.  

Kira-kira 40 tahun dahulu, di waktu mudanya dan bertenaga, mengembara mengejar impian dan rezeki pengubah kehidupan, jauh di Terengganu sana. Cuma belum sampai, baru on the way, kat stesen bas Jerantut. Terlepas pulak bas untuk ke Temerloh. Aiseeyman katanya. 

Hati kering, jiwa nekad dan kental. Bermalam sahaja di hentian bas, bas terakhir sudah tiada. Bekalan wang pula, sekadar barangkali cukup untuk tambang untuk esok. Tidak mengapa, di destinasi ada rakan sama tekad menanti. Harapan menggunung, gunung pun boleh panjat. Tarahal.

Alhamdullilah, ermm maaf, maksudku dia bersyukur secara indian. Malam dihentian bas di bandar asing tidak banyak dugaan tuhan. Barang selamat diri terpelihara. Cuma, di awal pagi dia dikejutkan seorang lelaki tua, berkain pelekat dan berbaju tidak sempurna. Mungkin dia pakai T-shirt tapi tahun 60-an ada T-shirt ke? Nak menyedapkan ceritapun biarlah get the fact right.   

Lagaknya umpama pengemis jalanan, compang-camping dan tidak keruan. Mengapa tidur disini tanya lelaki tua. Tertinggal bas untuk ke Temerloh jawab uncle Ramani versi muda. Pukul 10.00 nanti ada bas datang balas kembali lelaki tua. Tapi sebelum itu ayuh temankan aku sarapan di gerai sana tiba-tiba lelaki tua bersuara.

Alamak Uncle Ramani versi muda smells trouble. Barangkali si lelaki tua kurang siuman, pasti dia memintanya untuk membayar harga makanan, jika ditolak pelawaannya memungkinkan dia melakukan sesuatu yang tidak diduga. Nampaknya dia terpaksa menurut permintaannya. Harap selepas ini dia tidak mengganggunya hingga bas tiba. Chit phodah! rungut Uncle Ramani versi muda dalam hati barangkali. 

Di gerai makan Uncle Ramani versi muda menyeluk poketnya mengira jumlah wang yang ada. Oh bloody hell tak cukup nampaknya. Mungkin hanya cukup untuk belanja si orang tua kurang siuman makan dan minum dan bakinya untuk tambang bas. Diri sendiri pun belum makan, tara guna punya orang gila. 

Kau order la nak makan apa, berkata si lelaki tua. Takpelah saya minum saja balas Uncle Ramani. Ehh.. order je apa ko nak, hey tokey kasi ini orang roti canai dua tiba-tiba si lelaki tua memandai-mandai order. Cilakak tokey gerai ni boleh layankan pulak, sape nak bayar ni nanti?

Setelah makanan habis dibedal, jam hampir menuju pukul 10.00. Uncle Ramani sudah berkira-kira mahu membasuh pinggan untuk melangsaikan bayaran, jika tokey gerai bertimbang rasa mungkin hanya menghalalkan sahaja atas dasar si lelaki tua kepala tak betul, harap-harapnya. Jika tak mungkin terpaksalah uncle Ramani terlepas bas yang ini dan menunggu bas seterusnya setelah selesai membasuh pinggan.  

Tiba-tiba si lelaki tua pergi ke dalam gerai tempat simpanan duit, diambilnya beberapa keping wang kertas dengan si tokey kedai rilek-rilek aje pandang. Si lelaki tua kemudian menuju ke arah Uncle Ramani, dihulurkan wang itu kearahnya.

Ambik duit ni orang muda, kejap lagi bas sampai. Ni cukup untuk tambang dan makan kemudian. 

Uncle Ramani terpinga-pinga.

'Tokey' kedai dari tadi buat tak tau seolah tiada apa-apa yang berlaku. Aneh ini bisik Uncle Ramani versi muda. 

Tidak lama kemudian barulah diberitahu si lelaki tua bahawa gerai itu miliknya dan 'tokey' tadi hanyalah pekerjanya sahaja. Dia kasihan melihat Uncle Ramani tidur di bangku stesen bas lalu bercadang menolongnya. Tambahan pula Uncle Ramani tidak membantah pelawaannya untuk makan di gerai walaupun kemungkinan dia akan di'pow'. You look like an honest man kata si lelaki tua yang sebenarnya siuman.  

Sememangnya Uncle Ramani yang kukenali sekarang seorang lelaki jujur dan baik hati.

Cerita ini nampak macam magik tapi ia kisah benar. Uncle Ramani kesal kerana tidak berpeluang untuk berjumpa lelaki tua itu lagi dan mengenalinya lebih dekat.

Yang aku tahu, si lelaki tua seorang MELAYU. Peristiwa berlaku hanya beberapa tahun selepas negara merdeka. Si lelaki tua mungkin pernah melalui keperitan dan berjuang memerdekakan negara ketika mudanya. Sikit pun dia tidak keberatan menolong 'bangsa pendatang dan penyibuk' ini kerana atas dasar kemanusiaan. 

Sekarang korang tahu kenapa Uncle Ramani terlalu sayangkan negara ini.

Kita semua kononnya 'bumiputerakhang' patut pindah Indonesia, tak layak duduk di negara sendiri.

Label: Uncle Ramani 

No comments: