Sunday, March 16, 2008

Manuskrip Tanpa Sinopsis: Amacam? Macam Tak Jadi Je...

Chapter “n”

“Banguuuuuuuuunnnnnnn…….!!!!”

Suara mak yang sememangnya nyaring, dinyaringkan lagi bila dia bertempik depan pembesar suara di tangannya. Walaupun aku terkejut dan sedikit geram, tapi hati terusik dengan sikap mak yang kembali kepada perangai gila lamanya, sudah lama aku tidak melihat mak seceria ini.

Sudah pasti jiran-jiran semua juga akan terganggu dengan kenyaringan suara perempuan ini.

Mak pergi kearah tingkap, ditariknya langsir ke tepi dengan sebelah tangannya. Serentak mata aku silau dengan cahaya matahari yang menerobos ke dalam bilik yang tengah bersepah. Aku cuba mencari jam loceng tapi ibarat mencari jarum didalam jerami dalam keadaan bilik aku sekarang. Kalau dah matahari tegak atas kepala, maknanya hari sudah hampir meninggi. Waktu begini tiada mungkin jiran-jiran aku masih tidur. Patutlah mak berani membuat bising.

"Bangunlah sleepy head, banyak lagi nak packing ni, nanti lori nak datang” Mak aku datang dekat sebelah katil dan menggosok rambutku dengan kasar.

Selalu aku kena.

Aku mengesat air liur di pipi dan dengan lemah longlai malasnya cuba sedaya upaya bangun dari katil. Memulakan langkah yang berat menuju ke bilik air.

Aku berdiri pegun. Mengambil masa yang lama untuk menilai rupa parasku ketika baru bangun dari tidur. Hmm.. mungkin mak aku menggosok rambut aku tadi membuatkan aku hampir-hampir menumbuk cermin tidak mahu menerima kenyataan, jika tidak, seperti biasa, aku sememangnya manusia yang ada rupa.

Rupa macam manusia.

Hakikat yang bagus untuk memperingatkan aku supaya bersikap seperti manusia. Bukan perangai kanggaru. Mungkin manusia perlu melihat diri mereka didalam cermin dulu selepas bangun dari tidur. Manusia hensem perlu bersikap hensem. Dan yang tiada paras rupa janganlah berperangai buruk seburuk rupanya juga. Semalam aku tolong mak dan adik aku packing barang, hari ni penat sebab tu bangun lambat, memang aku anak yang baik, perangai elok lagi hensem. 

Keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah selesai basuh muka dan menggosok gigi, masih terlalu awal untuk mandi. walaupun hari sudah meninggi, tegak atas kepala. Kalau ada rancangan untuk ber-dating hari ni lainlah. Wangi semerbak dengan cologne.

Langkah terhenti depan pintu bilik mak. Aku lihat mak sedang menggilap set kayu-kayu (walaupun sebenarnya ia logam) golf titanium milik ayah. Aku nampak baju-baju ayah dilipat rapi di dalam beberapa beg plastik besar. Baju-baju yang tidak muat dan bersesuaian dengan citarasa aku, apa yang masih tinggal. Aku tahu mak masih menyimpan baju-baju yang tersimpan kenangan, yang lain sudah berada ditangan orang yang lebih memerlukan, dan tidak begitu mengada-ngada konon ‘peka fesyen’.

Menuruni tangga dari tingkat atas, aku lihat permandangan yang berlainan dari kebiasaan. Permandangan yang lapang, lapang dan kosong.

Rumah ini sudah lama ‘kosong’ sejak 5 bulan yang lalu. Tiada lagi sorakkan adik dan ketawa mak setiap kali ayah pulang dari kerja membawa kisah lucu yang dikutipnya dari pejabat. Pinggang mak dirangkul, aku akan menutup mata adik dari pandangan hubungan intim orang dewasa yang jika si pelaku adalah orang tua kita sendiri, mampu meloyakan tekak. Adik akan didukung ayah ke ruang tamu sambil adik bersorak gembira kerana dia tahu satu-satunya manusia didunia yang sudi dan sabar menahan bosan bermain Diamond2d di PS2 bersamanya sudah pulang dan bersedia. Semua itu memori indah.

Kini tekak aku tidak lagi perlu berasa loya, pandangan mata kecil adik tidak perlu lagi dilindungi, pinggang mak tidak pernah dirangkul dan dibelai lagi. Adik tidak lagi gian dan seronok bermain Diamond2d walaupun aku bersedia melawan kebosananku mengambil tempat ayah. Arwah ayah.

“Adik dah besar la abang, abang tak larat dukung adik…”

 

***

 

Aku mengambil angin diluar dengan harapan ada minah-minah salleh membuat gila berjogging tengah hari buta dengan hanya memakai top. Walaupun sebenarnya aku cuba melupakan perasaan pilu yang menyelubungi rumah aku ketika ini, cuba bersikap macho. Namun akhirnya gagal apabila secara tidak sedar aku mula duduk mencangkung dan kedua tanganku memegang bola rugbi yang secara kebetulan berada di atas rumput di halaman rumahku.

Ini ialah ‘bola pengakuan’. Kaedah halus ayah cuba mendapatkan pengakuan aku setiap kali aku membuat masalah. Dia akan mengajakku bermain melontar bola sambil bercerita kisah silamnya ataupun menanyakan aku soalan-soalan bodoh seperti perkembangan hubungan aku dengan rakan-rakan perempuan aku di sekolah walaupun dia sendiri sudah tahu ke-henseman yang diwarisi darinya ini membuatkan aku pandai memilih dan jarang menaruh hati. Tambahan pula,  iman aku belum cukup tinggi untuk meng-muamalaf-kan minah-minah salleh itu semua.

Sambil bola dilontar silih berganti beserta cerita-cerita zaman lewat kegemilangan dan soalan-soalan bodoh, akhirnya ayah akan mengutarakan ayat keramat perangkap:

“So wanna tell me about it?”

Selalu aku kena.

“Hey asian guy…!!”

Tiba-tiba lamunan aku diganggu suara sumbang. Dua rakan karibku dari sekolah dan juga anak-anak jiran datang bertandang ke halaman rumah. Seorang nama Nathan, anak supervisor kilang cat, perangai macam kanggaru, rupa pun ada la sikit iras-iras binatang kebangsaan tu. Pernah hampir maut digigit black widow empat tahun dulu. Seorang lagi nama Nural Anderson, hanya kerana namanya yang aneh itu sahaja membuatkan aku tertarik untuk berkawan dengannya. Agak berduit orangnya. Anak manager bank. Empat tahun dahulu jugalah aku membawa kereta agak mewah bapanya bekejar ke hospital membawa Nathan kebiruan disengat black widow, ketika itu kami semua hanya 12 tahun.   

“What’re you two caucasian doing here? Aren’t you supposed to be in school?”

“Our ol’man gave us the pass mate. We’re here to help you out of our country haha..!”

Aku hanya ketawa. Sememangnya mereka mempunyai sense of humor yang tiada insurans. Aku suka dan gembira berkawan dengan mereka.

 

***

 

Pekerja-pekerja syarikat pengangkutan sibuk mengangkat sofa ke dalam lori. Nathan dan Nural Anderson pula sibuk melantak air dan biskut yang disediakan mak setelah mereka berdua penat mengangkat satu sofa dua tempat duduk, satu sahaja, kira-kira setengah jam yang lalu, kemudian mengeluh keletihan dan membiarkan pekerja-pekerja syarikat pengangkutan menyelesaikan barang-barang berat yang lain.

Tidak banyak barang yang kami bawa. Cukup untuk satu kontena sahaja. Kereta ayah sudah pun dijual. Tinggal hanya MPV keluarga sahaja mengambil banyak ruang di dalam kontena. Aku tahu mak perlukan perbelanjaan bagi memulakan hidup baru kami di tanah kelahiran aku dan mak yang sudah 6 tahun ditinggalkan.

Adik didalam biliknya sibuk menyusun anak-anak patung kesayangannya di dalam kotak. Aku bersandar di gigi pintu biliknya,

“dah tak muat la lori nak bawak semua tu” kata aku menyakat adik.

“takpe, adik taknak dah semua ni, adik nak tolong mak. Adik nak jual semua ni bagi duit kat mak”

Aku tersentak dan tersentuh dengan jawapan adik. Mungkin tiada siapa mahu membeli atau sanggup membeli anak-anak patung kesayangan seorang budak kecil. Tapi adik memahami kesulitan kami walaupun diusianya yang masih terlalu mentah untuk melalui segala dugaan begini.

Dari luar tingkap bilik adik, aku melihat mak sedang berbincang sesuatu dengan seorang lelaki, lelaki yang aku kenal, teman sepejabat ayah. Aku lihat lelaki itu sedang memeriksa dan membelek set kayu-kayu (walaupun ianya logam) golf titanium milik ayah. Tidak lama kemudian dia mengangguk kepala dan berjabat tangan dengan mak. Mak menyahut dengan sejumlah wang darinya.

3 comments: