Monday, January 10, 2011

Pengaruh Tidak Lurus

Ketika pulang dari sembahyang jumaat, atau selepas menderma sejumlah wang yang besar kepada pengemis, atau selepas menyertai demonstrasi aman menuntut keadilan dan keamanan dunia, atau selepas memberi minum pada binatang yang kelaparan di tepi jalan, atau ketika membantu orang tua membawa beg berat mereka, atau ketika membantu orang buta melintas jalan, aku selalu terfikir, apa yang membuatkan aku sangat tertarik dan mengidolakan penulis nihilis dan hedonis seperti JD Salinger, Chuck Palahniuk, dan Jim Knipfel? Kenapa aku begitu berminat pada tulisan penulis punkrock seperti Pete Jordan, Jack Kerouac, dan Vique Martin? Kenapa aku suka novel dengan watak utama yang kepincangan hidup seperti The Right Man For The Right Job - Mike Magnuson dan Vernom God Little - DCB Pierre?

Hinggakan penulisan fiksyen aku pun terikut-ikut dengan watak manusia pincang dan gagal. Manusia essentrik yang punyai kecenderungan pada perkara yang absurd. Romantik gelap. Adakah jiwa aku, sebenarnya begitu twisted, sick dan nihilis juga? Kenapa aku rasa kalau aku tulis fiksyen cinta remaja dengan watak belia-harapan-negara-benci-dadah dengan kehidupan normal seperti manusia normal yang lain adalah sangat tidak best dan cool? Sangat lame dan membosankan?

Kenapa aku tak mahu jadi, atau sekurang-kurangnya cuba menjadi, atau mempunyai visi dan keazaman serta jatidiri untuk menjadi sasterawan atau penulis yang menulis untuk memperjuangkan martabat bangsa? Memperkenalkan budaya murni timur, adat resam dan kelembutan orang melayu? Adakah sastera melayu hanya setakat itu sahaja. Perjuangan bangsa, perjuangan bangsa, perjuangan bangsa dan maruah orang melayu. Dan jika bukan itu atau yang sebaliknya, tidak akan mendapat tempat dan dihargai sampai bila-bila. Tiada peluang menjadi terkenal, tiada penerbit mahu terbitkan karya, tidak akan berpeluang muncul dalam senarai buku terlaris. Tidak akan sampai bila-bila pun berpeluang dijadikan buku rujukan untuk pendidikan dan kajian anak bangsa, dipersoalkan dan diperdebatkan di parlimen.

Bukan tidak sedarpun penulis seperti Chuck Palahniuk mungkin tidak akan memenangi hadiah nobel kesasterawan (walaupun banyak bukunya sudah dan bakal difilemkan). Bukan tidak terima hakikat JD Salinger sudah dianggap tokoh sastera yang tidak sepatutnya dijadikan contoh. Yang karyanya hanya dibaca remaja gothic bermasalah yang membela ular atau kelawar sebagai binatang peliharaan, atau pelajar falsafah atau undang-undang kurang-popular-di-kampus yang terlalu banyak membaca Nietzsche, Camus dan Sartre, atau fanatik Kafka yang meracau bangun pagi kerana sangka diri sudah bertukar jadi seekor lipas. Tidak terfikir pun untuk mengimpikan hidup sebagai seorang yang murung, paranoia, suicidal dan skitzo hanya untuk melahirkan karya yang kontroversi.

Sama juga, bila penyanyi serta kugiran 'alternatif' memenangi anugerah juara lagu, manusia konformis melenting. Jika berkarya untuk cari makan, baik ikut sahaja telunjuk dan citarasa kelompok paling ramai dan berkuasa. Bagi yang berkarya kerana minat, penghargaan dan duit poket perkara kedua. Nilai dan isi pula, mungkin bakal mencorakkan atau meruntuhkan bangsa. Itu tanggungjawab dan etika berkarya.

Jadilah tinggallah aku diantara celah, disepit dalam dilema. Pilihan aku ialah bukan pilihan aku. Tapi itu jika aku mahu digelar sasterawan dan dihargai. Jujur aku tidak pernah peduli tentang itu. Aku menulis kerana minat, minat aku pula cenderung pada nilai dan isi yang dianggap merosakkan. Jadi aku sudahpun dihukum sebelum aku bermula lagi sebenarnya.

Kalau kamu baik, bermoral, melayu dan bertanggungjawab sangat, tak usahlah risau kerana sudah tentu kamu tahu menilai mana yang baik dan buruk.

Pengaruh aku mungkin tidak lurus, tapi yang penting tulus. Berapa kerat sangatlah manusia seperti aku untuk beri impak ataupun dipedulikan. Yang terpenting sekali, ianya tidak lebih sekadar stail dan cara aku menulis dan mereka cerita. Tiadalah sampai aku pergi turun bukit laju-laju dengan basikal sambil lepas tangan dan pakai gugel. Tiadalah sampai aku pergi ceroboh zoo negara dan bagi binatang-binatang disitu makan pil khayal dan minuman beralkohol. Tiadalah aku tergamak memotong rumput dengan mesin di laman memakai kostum arnab merah jambu. Tiadalah sampai aku tubuh kumpulan rahsia dan ambil gambar pemimpin negara ditumbuk secara hendap.

Walaupun ia kedengaran seronok.


No comments: