Friday, November 18, 2011

Home Improvement 38

Hari ini Si Lelaki belajar perumpamaan cinta dari seorang rakan baiknya.

"Cinta itu", katanya, " adalah seperti cuba menghisap rokok yang basah selepas mengharungi hujan. Kau boleh cuba membakarnya, tapi kau akan menyedut asap yang bercampur air tembakau yang pahit rasanya. Jika kau sanggup telan dan ludah segala kepahitan itu, lama-lama api yang membakar rokok itu akan membakar juga. Tapi jika kau sabar menunggu hingga rokok itu kering, mungkin nikmat rokok itu sudah kurang, tapi kau tetap dapat membakar dan menghisapnya, mengerti?"

Si Lelaki rasa macam nak cucuh rokok pada perut rakannya yang sedang tersengih itu tetapi dia hanya mengangguk seakan faham.

"Cinta itu", katanya lagi, "adalah seperti cuba membakar rokok dengan pemetik api yang basah, walaupun berkali dipetik, hingga ibu jari melecet, api akan tetap terpadam tanpa sempat membakar hujung rokok, sebaliknya kau akan tersedut gas pemetik api yang membahayakan kesihatan,"

"Hisap rokok pun membahayakan kesihatan," Si Lelaki mencelah.

"Hisap rokok itu untuk kenikmatan, hisap gas pemetik api buat apa?" Rakannya membalas separuh jengkil.

"Cinta itu," sambungnya kembali, "adalah seperti menghisap rokok, kenikmatan yang lama-lama memudaratkan, tapi tak mengapalah kalau mahukan kenikmatan terpaksalah berkorban, cuma pastikan pemetik api kau berfungsi dan berkeadaan baik, dan elok dibuang saja rokok yang sudah basah kerana ianya sudah rosak dan lemau, mengerti?"

Si Lelaki rasa seperti mahu berhenti merokok dan memijak perut rakannya yang sedang tersengih itu tetapi dia hanya mengangguk seakan faham.

No comments: