Friday, November 4, 2011

Home Improvement 37

Sepuluh tahun dari sekarang, dua puluh tahun dari sekarang, jika panjang umur, adakah Si Lelaki akan menghadiahkan lagi mix cd untuk Si Dia? Ada mix cd untuk meminta maaf, ada mix cd untuk terima kasih, ada mix cd untuk hilangkan bosan, ada mix cd untuk rasa bahagia, ada mix cd untuk sebuah perjalanan yang jauh, ada mix cd untuk "hah! Awak kalah!", ada mix cd untuk waktu-waktu tidak selesa datang bulan, ada mix cd untuk semuanya.

Waktu-waktu berumur begitu, tidak mungkin lagi berminat menjadi hipster tua, menghargai muzik-muzik dengan nilai estetika atau berseni atau berjiwa dan berfalsafah. Lebih rela dan lapang mendengar kicauan burung dan ayam dan itik dan bacaan ayat suci. Lagu-lagu hanya tinggal nilai sentimen, kenangan dan nostalgia. Mendengarnya hanya membawa hati pada perasaan ketika waktu itu, tidak lebih dari itu.

"Jadi waktu itu kita akan berhenti menjadi romantis dan sweet?" Si Dia bertanya untuk kepastian.

"Yep." Jawab Si Lelaki.

Sebaliknya waktu itu Si Lelaki mungkin hanya akan menghadiahkan jambangan bunga, dan jambangan bunga lagi untuk meminta maaf, jambangan bunga untuk berterima kasih, jambangan bunga lagi untuk hari bahagia, jambangan bunga lagi untuk "maaf, tadi saya semput", jambangan bunga lagi untuk untuk rasa tidak selesa kerana sakit sendi, ada jambangan bunga untuk semuanya.

Lebih teruk lagi, Si Lelaki menyambung, akan ada sekeping nota untuk setiap jambangan bunga dengan setiap ucapan dimulakan dengan 'Ayang', Ayang, janganlah merajuk lagi ayang, bucuk-bucuk'. Ada makan malam diterangi lilin di restoren mewah memakai pakaian kemas dengan pemain biola mengganggu di tepi, berpegangan tangan di taman bunga dan lebih banyak ayang, ayang dan bucuk-bucuk and all those horrible shits.

"Teruknyaa.. !" Si Dia memejam mata dengan dahi berkerut membayangkan yang buruk-buruk.

No comments: