Sunday, December 5, 2010

Potential Sipnopsis

Kata orang, baik simpan sendiri idea takut nanti ditiru sebelum dimeterialisasikan, biarlah. Membuat sinopsis memang senang, kembangkan menjadi karya berkualiti yang susah. Kisah cinta pun tiada yang original, dikitar semula dengan plot berlainan. Daripada terkubur, baik 
diusahakan mereka yang berbakat dan berkemampuan, walaupun meniru tapi asalkan kreatif boleh jadi hasil kerja sendiri dan tersendiri. Industri negara juga maju. Sudah dipos diblog ini sebagai bukti boleh juga nanti buat modal saman-menyaman. Lebih untung dari hasilkan sendiri yang belum tentu laku. Licik kan?

1. Sekumpulan jurufoto profesional berlainan cabang kemahiran, fotografi model, fotografi perkahwinan, fotografi dokumentari, fotografi perang, fotografi seni potret bla bla bla. Masing-masing memiliki ketajaman mata hati dan kemahiran mengambil gambar yang mampu mempotretkan emosi manusia, sudah mula bosan dengan kepalsuan dan kejengkelan manusia sekeliling, lalu menubuhkan kumpulan rahsia dengan objektif utamanya adalah untuk menyedarkan manusia yang kurang peka pada dunia dan realiti kehidupan, kerana dilalaikan oleh kesenangan dan keselamatan, yang selalunya terdiri dari manusia yang berkedudukan dan dikenali. Mereka bertindak dengan seorang ahli kumpulan menyerang hendap golongan ini ketika sedang leka iaitu dengan berlari ke arah mereka dari belakang dan menumbuk muka mereka secara tiba-tiba sementara ahli kumpulan yang lain mengambil foto saat itu. Merupakan foto paling berkesan dan tulen sekali yang mempotretkan wajah manusia yang dikejutkan secara tiba-tiba, Apabila 'mangsa' melihat foto mereka saat ditumbuk itu, melahirkan sejenis kesedaran dalam diri mereka dengan campuran perasaan paling gerun dan terpinga. Kumpulan jurufoto profesional pemberontak dan revolusionis ini menggelarkan diri mereka Liga Liar. Akhirnya diburu pihak berkuasa disamping disanjungi majoriti masyarakat yang tertindas. Dianggap pengganas oleh pemerintah, aktivis dan genius oleh penggiat seni, bodoh, tiada kerja dan buat perkara sia-sia oleh segelintir pengkritik, dan vigilantis oleh golongan tertindas.

2. Puluhan tahun dimasa hadapan, setelah bumi kembali aman setelah 10 tahun berperang dengan penakluk dari angkasa lepas, menceritakan tentang sekumpulan veteran tentera Malaysia dari batalion whatever, sedang dibicarakan dimahkamah tentera antarabangsa kerana melanggar arahan dan mengakibatkan lebih separuh anggota batalionnya sendiri terkorban. Kisahnya bermula apabila barisan hadapan tentera bumi, yang sebahagian besar terdiri dari tentera Amerika, sudah hampir lenyap dan pupus semuanya, kecuali satu kompeni yang terdiri dari banduan dan penjenayah yang disabit hukuman mati, yang diberi peluang untuk bebas dan diampunkan sekiranya berkhidmat dalam tentera Amerika, adalah merupakan kompeni terakhir tentera Amerika yang masih hidup ketika itu. Batalion tentera Malaysia yang ditugaskan memantau kompeni itu, kerana tentera Malaysia tidak dianggap pasukan yang cukup bagus untuk mempertahankan bumi dibarisan hadapan, telah mengambil keputusan sendiri atas dasar kemanusiaan dan moral, untuk menyelamatkan kompeni terakhir tentera Amerika yang terdiri dari banduan itu yang pada dasarnya dihantar untuk misi bunuh diri. Perbicaraan yang menarik perhatian masyarakat dunia. Persoalan antara kesetiaan pada arahan, maruah sebagai tentera, prinsip moral dan kemanusian. Layakkan askar bekas banduan itu dibiarkan berjuang hingga mati atau diselamatkan, selamatkan askar-askar terakhir dalam angkatan tentera Amerika dari pupus dan lenyap di bumi, walaupun mereka sebenarnya hanya banduan yang diberikan peluang untuk dihukum mati dengan cara yang lebih bermaruah.  

3. Seorang pemuda yang sederhana segala serbi, pendidikan, pekerjaan dan gaya hidup, selalu berangan-angan untuk menjadi 'seseorang' yang penting dan disegani. Tiba-tiba memenangi wang loteri jutaan ringgit. Peluang sekali seumur hidup untuk mengubah hidup dan mencapai cita-cita. Tanpa disangka sahabat, makwe dan keluarga beliau, daripada menggunakan wang itu untuk tujuan yang lebih berfaedah, tiba-tiba dia membeli sebidang tanah di tepi pantai dan membida dengan kerajaan untuk mengistiharkan tanah tersebut sebagai negara 'mikro' beliau sendiri, diberi autonomi dan melantik dirinya sebagai raja pertama kerajaan baru itu. Adakah beliau berjaya membuktikan sesuatu atau dia sememangnya seorang 'loser' yang bodoh dan merepek seperti yang dikenali oleh makwe, rakan-rakan dan keluarganya?   

4. Karim mengidapi sejenis penyakit misteri dari lahir dan ketika berumur 9 tahun dia tidak pernah mengantuk dan tidur sehinggalah dewasa. Keunikkan Karim itu menjadikan beliau seorang yang terlalu peka dan hebat memerhati perubahan sekeliling. Karim telah 'dikurniakan kebolehan' untuk mengetahui 'rahsia malam'. Tidak tidur malam menjadikan Karim menjalani waktu kehidupan jauh lebih lama dari manusia lain sebayanya. Otaknya tidak pernah berhenti dan berehat dari berfikir. Setiap malam apabila dunia tidur, Karim jadi kesunyian dan banyak menghabiskan masa dengan membaca. Kerana penat berfikir, Karim selalu ingin merasai perasaan dan keadaan ketika bermimpi dalam tidur. Satu-satunya cara paling hampir untuk Karim bermimpi ialah melalui khayal dengan segala jenis dadah. Pada Karim, ketika berkhayal, ketika itulah fikiran dapat 'berehat'. Apakah nasib hidup Karim seterusnya? Apakah 'rahsia malam' itu? Apakah konflik keluarga kesan dari keadaan Karim? Adakah nama kawan Karim itu 'Dia' atau penulis malas nak letak nama, siapakah yang berjaya mengorat Suraya. Pasti pecah kedai buku 100 juta.   

2 comments:

Kaluih said...

What an awesome blog you own! I just can't stop myself from scrolling down.

Well,keep on writing because I'll keep reading!

stam said...

thank you

how very nice of you