Dia hanya mahu bersendirian ditemani kesakitan. Lututnya berdarah. Sikunya berdarah. Hatinya senang. Dadanya lapang untuk menghembus asap rokok dalam kesemputan dan lelah berlari empat pusingan lengkap, sebelum tersungkur kepenatan. Di bangku penonton, dia duduk berehat memerhatikan balapan yang kosong. Menikmati kepedihan.
Mungkin dia sudah terlalu biasa dengan kesakitan. Jadi yang ini tidak apa. Yang ini bukan apa-apa. Dia pernah mengalami yang jauh lebih menyakitkan. Seperti terpijak paku, ditumbuk, dilanggar basikal, digigit anjing, patah gigi, tercekik tulang dan ditinggalkan. Memberikan segalanya dan ditinggalkan.
Jadi sekarang dia hanya mahu berehat dan mengambil nafas. Tiga batang sudah cukup, sebelum matahari terbenam. Kemudian jika alam lebih memahami, mungkin sedikit hujan yang amat sangat lebat sudah cukup untuk melengkapkan segalanya. Atau mungkin dikejar anjing gila ataupun dilanggar basikal untuk sekali lagi, sebagai mengimbas kenangan lama.
Dulu Suraya pernah tanya, “kenapa suka melakukan perkara baik kemudian sengaja dirosakkan dengan perkara yang salah pula?”. Seperti hari ini, tiada apa yang lebih menyihatkan dari menghabiskan sepanjang petang dengan berlari tanpa henti disepanjang balapan. Berlari hingga ke penghujung kudrat, kemudian tersungkur kepenatan. Akhirnya kembali membelai paru-paru yang terpaksa bekerja hingga hadnya sebentar tadi dengan udara sarat karbon monoksida dan nikotina.
“Ia satu timbang tara yang seimbang”, dia jawab. Manusia sepertinya tidak diberi pilihan dan peluang untuk menjadi sempurna atau seburuk-buruk manusia. Kesempurnaan terlalu pura-pura, keburukkan pula adalah kehancuran yang paling muktamad. Jadi satu-satunya kejujuran yang paling tulus ialah bersikap sederhana. Jika tiba-tiba dia merasakan telah terlebih melakukan kebaikan, cepat-cepat dia akan ‘mengimbanginya’ dengan melakukan sesuatu yang bodoh pula. Kemudian dia akan berasa lega seolah seperti sudah melakukan sesuatu yang sepatutnya.
“Gila” Suraya membalas.
Dia hanya tersenyum, mengangap itu sebagai satu pujian, kerana ‘gila’ adalah jauh lebih bergaya dari kebaikan yang pura-pura. ‘Gila’ meneutralkan kejahatan tanpa perlu kelihatan seperti seorang yang lurus bendul berbuat baik tidak berpada-pada. Berada diantara, menjadikan dia manusia biasa tanpa keistimewaan yang meragukan.
bersambung...... (di lain media)
No comments:
Post a Comment