Monday, August 10, 2009

Mat Top dan Moral

Terbukti lelaki yang ditembak mati polis Indonesia itu bukan Nordin Mat Top. Penemuan bahan letupan dalam rumah tersebut juga membuktikan lelaki itu terlibat dengan pergerakan pengganas. Suci atau tidak perjuangan mereka, aku sendiri kurang pasti garis pemisahan yang membezakan hitam dan putih sama ada hukuman dan nasib yang diterima dirinya itu setimpal atau tidak.

Di dunia ini mungkin hanya ada tiga golongan manusia yang sepatutnya bermaruah. Vigilantis, Pendukung Undang-undang dan Para Moralis tidak kira sama ada konservatif atau liberal.

Kejahatan sejati hanyalah untuk mereka yang tamak dan sadistik. Termasuk para rasis, perogol dan ahli politik yang tamak dan menjaga kepentingan sendiri. Aku tetap menggelarkan mereka sadistik kerana jiwa yang sakit dan sempit.   

Pengganas atau pelampau. Apa bezanya? Demi kebaikan yang lebih besar, kadang-kadang pengertian moral itu dikompromi. Manusia idealis dan berprinsip meletakkan matlamat melebihi segalanya. Melebihi kepentingan diri.

Dan apabila pertembungan berlaku antara golongan vigilantis dan pendukung undang-undang, itu bukanlah peperangan antara 'kejahatan' dan 'kebaikan', tetapi peperangan antara prinsip dan moral. 

Seperti yang aku katakan tadi, kejahatan sejati hanyalah untuk mereka yang tamak dan sadistik. Hanya bila berlaku pertembungan antara tiga golongan yang sepatutnya bermaruah dan golongan yang tamak dan sadistik ini, itu barulah aku sifatkan sebagai peperangan antara 'kebaikan' dan 'kejahatan'.

Tiga golongan yang sepatutnya bermaruah, hanya cuba menegakkan siapa yang 'lebih baik' diantara mereka yang sepatutnya terdiri dari golongan yang sepatutnya bermaruah dan baik. 

Maka berlakulah konflik antara prinsip, matlamat, etika dan moral. 

Polis Indonesia sudah ada garis panduan bagi prinsip kebaikan dan moral mereka. Siapa yang melanggar undang-undang maka mereka bersalah dan perlu dihukum dan dihakimi. Pengganas mempunyai matlamat yang melangkaui moral dan undang-undang, demi 'kebaikan' yang lebih besar mereka sanggup bertindak melampau dan diluar batas etika. 

Namun jika sekumpulan polis yang lengkap bersenjata berat dengan peralatan yang hebat, menggempur tiga orang pengganas yang jelas tidak berkemampuan mempertahankan diri, untuk dihakimi dengan kematian saat itu juga tanpa diberi peluang dan hak untuk dibicara dan disiasat, sang pendukung undang-undang itu juga seperti sudah melangkaui moral dan etika, bertindak secara melampau dan kejam, demi matlamat dan 'kebaikan yang lebih besar'.

Jadi dipengakhiran, apakah yang membezakan antara mereka berdua? Apakah matlamat dan demi kebaikan yang lebih besar itu, moral dan etika jadi taruhan. Golongan moralis geleng kepala, tiga golongan manusia yang sepatutnya bermaruah masih berdebat tentang prinsip kebaikan, moral dan etika mereka, tak sudah-sudah.

Sementara golongan yang tamak dan sadistik, meraikan kemenangan mereka yang sentiasa terlepas dari dihakimi dan dihukum. Pemimpin tanpa moral kepimpinan tersenyum dengan jaminan kedudukan dan kuasa mereka. Itu adalah segalanya dari rasa bersalah kerana gagal melakukan tanggungjawab mereka. Golongan rasis hanya mahukan dunia untuk bangsa mereka sahaja dan gologan sadistik yang lain berusaha memuaskan nafsu dan ketamakkan mereka.

Mereka bersatu dan semakin kuat.

Vigilantis, Pendukung Undang-undang dan Para Moralis pula masih bergelut dengan konflik moral dan etika mereka. Cuba sedaya upaya membuktikan siapa yang lebih baik diantara yang baik. Tidak pernah bersatu walaupun matlamat dasar mereka sama.     

Dunia oh dunia. Lebih baik main bola dan bercinta dengan makwe. 

1 comment:

Youjie said...

Setuju!!!
Nk posting jejiwang ohh~
:P