Saturday, October 9, 2010

Orang Hodoh Cantik: Memandu

Semasa hayat ayahnya, apabila Karim beritahu ayahnya dia ingin keluar untuk 'berjalan-jalan', maksudnya, dia ingin keluar memandu. Kerana ada ketikanya, berjalan-jalan adalah tidak cukup dan terlalu menarik perhatian orang, atau terlalu memenatkan. Karim tidak perlu apa-apa urusan, atau tujuan untuk keluar memandu. Dia hanya perlu keluar memandu.

Karim bukan orang senang. Ada kelapangan, dia peruntukkan sedikit wang bagi keperluannya untuk keluar memandu tanpa arah tujuan yang pasti. Membazirkan wang seperti itu adalah sama juga dengan membazirkan wang untuk pil-pil khayal dan LSD, ia sudah menjadi lebih dari satu ketagihan, ia telah menjadi satu keperluan. Namun kini Karim sedang cuba untuk beralih kepada keperluan yang lebih menyihatkan. Keperluannya untuk keluar memandu. Tuhan sahaja tahu betapa Karim sudah bosan terkurung dalam bilik melayan khalayan.

Kepantasan tidak mengujakan Karim, keseronokkan dalam pengendalian kenderaan adalah jauh sekali. Tidak untuk kereta berusia yang dipandu Karim. Ketenangan itu pula adalah satu kelebihan yang kadang kadang sahaja. Bila didalam kereta, Karim memisahkan dirinya dari dunia, tapi dia tidak mahu rasa terasing, tidak mahu terpisah sepenuhnya, seperti bila keseorangan didalam bilik. Karim masih mahu ada rasa jadi sebahagian kecil, yang terlibat sedikit sahaja lalu bila ada perubahan yang melibatkan dirinya atau dunia kesannya tidak ketara.

Karim ada satu 'cakera padat lagu campuran' yang sengaja dinamakan sebagai 'Panduan Pengembaraan' sempena untuk diperdengarkan setiap kali dia perlu keluar memandu. Sebelum ini sudah ada dua siri untuk cakera padat lagu campuran 'Panduan Pengembaraan'. Pemilihan lagu dibuat berhati-hati oleh Karim sendiri mengikut citarasa dan senikata lagu yang membawa perasaan-perasaan tertentu kepadanya ketika memandu. Siri baru akan dibuat apabila Karim sudah mula bosan dengan perasaan yang dibawa lagu pilihan tertentunya. Hakikatnya Karim bukan mahu perasaan yang baru, dia hanya mahu merasakan perasaan yang sama dalam sentimen dan cerita yang segar. Dikecewakan kerana orang lain, gembira kerana hal lain, teruja kerana orang lain. Permulaan baru untuk ulangan perasaan yang sama. Setiap lagu baru merubah persekitaran walaupun dia memandu melalui jalan yang sama setiap kali.




bersambung di lain media.........

No comments: