Thursday, September 23, 2010

Diskriminasi Terpimpin

Pada tahun 2001, di sebuah venue di Bukit Bintang, ketika Spacebar baru sedang bersiap sedia untuk memulakan persembahan, datanglah sekumpulan penguatkuasa (bukan transformer eletrik ya, ataupun minuman tonik atau steroid) menyerbu venue berkenaan. Aku sudah tidak ingat alasan mereka, mungkin yang sudah kebiasaan seperti tiada permit atau perhimpunan haram. Namun aku serta sekumpulan yang lain, dengan liciknya berjaya melarikan diri melalui bangunan bersebelahan, termasuk vokalis Koffin Kanser yang ketika itu sudah layak dikira artis, sama juga berlari beriringan disebelah aku dengan wajah dihiasi seribu kecemasan dan rambut dreadlock.

Dengan bersahaja kami yang licik ini keluar seperti tiada apa-apa berlaku dari bangunan bersebelahan dan kemudian lepak beramai-ramai dikaki lima memberi sorakkan kepada mereka yang berjaya diberkas dan kurang licik dan baru nak up dalam scene menaiki trak penguatkuasa untuk dibawa ke balai.

Tahun 2003, di sebuah venue di tengah bandar Kuantan, ketika kumpulan kugiran ketiga baru hendak memulakan persembahan, datanglah sekumpulan penguatkuasa menyerbu venue berkenaan. Namun kali ini, penguatkuasa lebih licik kerana nasib menyebelahi mereka kerana venue itu sama ada tidak menyediakan pintu belakang ataupun pemilik premis merahsiakan laluan kecemasan. Pendek kata, jika ketika itu sekumpulan militan pro kerajaan bercadang membakar venue tersebut, maka sia-sialah hidup kami semua anak-anak muda berdarah muda.

Sebagai orang berpengalaman, aku adalah antara kumpulan orang terakhir yang dibawa keluar untuk menaiki trak penguatkuasa, untuk dengan malangnya, memandangkan venue berkenaan hampir kosong, sekumpulan jurugambar suratkhabar berjaya mengambil gambar kami dengan posisi yang jelas. Sampai sekarang aku tercari-cari suratkhabar manakah yang membuat liputan yang remeh-temeh seperti itu dan jika wajah aku terpampang dimana-mana untuk dikantoikan dengan sanak-saudara. Nasib baik kedua orang tuaku hanya berminat membaca akhbar berunsur politik pembangkang. Bukan tabloid murahan seperti M**tro.

Kami semua diminta bersila beramai-ramai di perkarangan balai polis Kuantan seperti pendatang tanpa izin, kad pengenalan kami semua diambil dan yang mana dibawah umur diasingkan dan ibu-bapa mereka dimaklumkan. Kemudian datang seorang pegawai penguatkuasa memberi kenyataan bodoh dengan nada marah, katanya aparatus ujian air kencing adalah sangat mahal, satu kertas penguji itu harganya hampir rm8.00 jika tidak silap aku. Dan kami ini semua menyusahkan dan merugikan pihak mereka kerana jumlah kami semua hampir seratus orang. Sumpah, memang ketika itu aku amat kagum dengan kebijaksanaan pegawai berkenaan. Pasti anak-anaknya amat berbangga.

Lalu demi langkah penjimatan yang amat bijak, mereka bercadang untuk tidak membuat ujian air kencing ke atas kami semua tetapi akan membuat saringan berdasarkan paras rupa dan penampilan. Yang mana muka ibarat penjenayah dan berpakaian selekeh, maka dia layak mengambil ujian air kencing. Didikan apakah yang telah diberikan oleh kerajaan kepada penguatkuasa ini semua untuk menilai seseorang melalui luaran tuhan sahaja yang tahu.

Memandangkan ketika itu aku masih mengamalkan cara hidup yang bebas dari sebarang unsur intoksikasi, maka aku amat berbesar hati jika dipilih, secara tidak langsung ini menunjukkan aku memiliki ciri-ciri seorang pemberontak. Idea revolusi dan subversif yang ditanam dalam kepala otak aku sekian lama ini haruslah dipandang serius oleh mereka. Someone they should reckon with bak kata orang tua.

Jadi ketika nama aku dipanggil untuk menjadi orang pertama yang dibebaskan tanpa sebarang syarat atau ujian,

itu adalah satu penghinaan, cis, nerd sangat ke muka gua brader?

1 comment:

MrWickedSoul said...

nerd tu takdak la sangat. cuma orang kata lu muka tak moshing,tak pogo la orang kata.hehe
salam bos.lama da tak singgah sini.
selama ni silent reader je