Wednesday, February 17, 2010

Orang Hodoh Cantik: Kadir

Bila segalanya kembali terang, Kadir menyedari dirinya tiba-tiba berada di bawah sinki, terbaring di lantai berjubin yang sedikit berair dan sejuk. Kepalanya diserang kesakitan yang hebat. Air sedang menderu mengalir dari kepala pili, diikuti dengan lagu ‘Soul Meets Body’ dari Death Cab yang kedengaran samar-samar di belakang.

Syurga sangat kelihatan seperti bilik sanitari fikir Kadir, atau mungkin ini tempat menunggu sebelum ke syurga atau neraka. Tempat pembersihan, tempat penyucian. Di suatu tempat yang dingin dan berbau seperti penyegar udara lavender. Mungkin juga ini syurga, fikir Kadir.

Tidak lama selepas itu, barulah Kadir menyedari dia sememangnya sedang terbaring di dalam bilik air sebuah hotel.

Telefon bimbit dalam poket seluarnya sedang berbunyi dan bergetar – dimana datang lagu Death Cab tadi. Sambil memicit kepalanya yang masih belum reda sakitnya, Kadir cuba bangun dan menjawab panggilan telefon. Belum sempat disambut panggilan terputus, di skrin telefon bimbit tertera lima belas panggilan yang tidak berjawab. Diperiksanya satu persatu siapa yang cuba menghubunginya. Dua nama yang sama tertera, seorang perempuan bengis yang membencikan dan seorang lagi perempuan yang pernah mencuri hatinya.

Perempuan bengis yang membencikan, Sally The Fat Lioness akan menelefonnya berjuta kali sehari untuk hal berkaitan kerja, atau sebenarnya hal berkaitan kerja yang melibatkan reputasi Sally The Fat Lioness dalam syarikat berbanding kebajikan Kadir sendiri. Perempuan seorang lagi yang pernah mencuri hatinya, Sally The Goddess akan menelefonnya mungkin 785 tahun sekali, untuk hal yang selalunya menduga jiwa dan hati Kadir, bermain teka-teki.

Kadir melihat jam ditangan. Rupanya hampir tiga jam dia pitam dibawah sinki. Hampir tiga jam terlewat menyerahkan laporan pembentangan pada perempuan bengis yang membencikan. Namun yang paling merunsingkan hatinya, adalah memikirkan teka-teki apakah yang perempuan yang pernah mencuri hatinya cuba menduga jiwa dan hatinya sebentar tadi.


bersambung.....


No comments: