Daging busuk, daging salai, daging panggang, daging separuh masak, daging hangus, daging segar, daging haram . Darah daging. Camtulah korang kalau tak pakai otak, jadi ketulan daging bertulang yang bernyawa yang berjalan dan pakai kasut. Ni bukan blog pasal nak masak daging lah!
Thursday, February 18, 2010
Main Gila
Wednesday, February 17, 2010
Orang Hodoh Cantik: Kadir
Bila segalanya kembali terang, Kadir menyedari dirinya tiba-tiba berada di bawah sinki, terbaring di lantai berjubin yang sedikit berair dan sejuk. Kepalanya diserang kesakitan yang hebat. Air sedang menderu mengalir dari kepala pili, diikuti dengan lagu ‘Soul Meets Body’ dari Death Cab yang kedengaran samar-samar di belakang.
Syurga sangat kelihatan seperti bilik sanitari fikir Kadir, atau mungkin ini tempat menunggu sebelum ke syurga atau neraka. Tempat pembersihan, tempat penyucian. Di suatu tempat yang dingin dan berbau seperti penyegar udara lavender. Mungkin juga ini syurga, fikir Kadir.
Tidak lama selepas itu, barulah Kadir menyedari dia sememangnya sedang terbaring di dalam bilik air sebuah hotel.
Telefon bimbit dalam poket seluarnya sedang berbunyi dan bergetar – dimana datang lagu Death Cab tadi. Sambil memicit kepalanya yang masih belum reda sakitnya, Kadir cuba bangun dan menjawab panggilan telefon. Belum sempat disambut panggilan terputus, di skrin telefon bimbit tertera lima belas panggilan yang tidak berjawab. Diperiksanya satu persatu siapa yang cuba menghubunginya. Dua nama yang sama tertera, seorang perempuan bengis yang membencikan dan seorang lagi perempuan yang pernah mencuri hatinya.
Perempuan bengis yang membencikan, Sally The Fat Lioness akan menelefonnya berjuta kali sehari untuk hal berkaitan kerja, atau sebenarnya hal berkaitan kerja yang melibatkan reputasi Sally The Fat Lioness dalam syarikat berbanding kebajikan Kadir sendiri. Perempuan seorang lagi yang pernah mencuri hatinya, Sally The Goddess akan menelefonnya mungkin 785 tahun sekali, untuk hal yang selalunya menduga jiwa dan hati Kadir, bermain teka-teki.
Kadir melihat jam ditangan. Rupanya hampir tiga jam dia pitam dibawah sinki. Hampir tiga jam terlewat menyerahkan laporan pembentangan pada perempuan bengis yang membencikan. Namun yang paling merunsingkan hatinya, adalah memikirkan teka-teki apakah yang perempuan yang pernah mencuri hatinya cuba menduga jiwa dan hatinya sebentar tadi.
bersambung.....
Tuesday, February 9, 2010
Orang Hodoh Cantik: Kudin
Lalu dengan kelam-kabut jugalah Kudin keluar dari kereta dan berlari untuk menenangkan Suzie, sebelum jiran-jiran terganggu tidur mereka dengan kekecohan itu. Malam itu Kudin duduk menemani Suzie sepanjang malam yang tertidur kali kedua diatas sofa setelah penat tersedu-sedan menangis air mata yang tak pernah kering.
Pada kali yang kesebelum itu pula, jantung Kudin hampir gugur apabila Suzie meniti tebing bumbung diatas sebuah bangunan tinggi, sebelum itu dia menerima panggilan telefon dari Suzie untuk bertemu dengannya dibumbung bangunan itu. Ketika dalam perjalanan fikiran Kudin sudah berlegar pada perkara-perkara yang tidak terduga dan membimbangkan yang mungkin dilakukan oleh Suzie. Untuk kali yang keberapa Kudin berjaya juga menenangkan Suzie, dan seperti biasa dadanya menjadi tempat Suzie mengesat air mata dan menghembus hingus. Malam itu setelah Kudin mengejutkan Suzie dari tidur setelah mereka sampai dihadapan pintu rumahnya, Suzie berjalan dengan lesu dan terhuyu-hayang kearah pintu rumahnya, seperti seorang yang mabuk atau sedang khayal dengan sesuatu. Sampai dihadapan pintu, Suzie tidak membukanya terus, sebaliknya tiba-tiba duduk menyandarinya, mukanya tertunduk kebawah, sepi.
Lama Suzie duduk menyandari pintu rumahnya dalam keadaan itu, Kudin tidak terus beredar dengan kereta kerana bimbang Suzie tertidur semula dihadapan pintu rumahnya sendiri, lalu Kudin tunggu. 10 minit, 15, minit, 20 minit, 25minit dan akhirnya Kudin terpaksa keluar juga dari keretanya kerana memang sah Suzie sudah tertidur kembali. Malam itu Kudin berjaga lagi sepanjang malam memerhatikan Suzie tidur sambil tersedu-sedu diatas sofa. Hatinya keberatan untuk pulang kerana bimbang Suzie akan melakukan cubaan yang membahayakan nyawanya sendiri sekali lagi.
Jadi pada malam ini pula, Kudin terfikir untuk tidak mengejutkan Suzie, tetapi akan mendukungnya masuk kedalam rumah. Walaupun mungkin kurang manis dipandang jiran, tapi Kudin lebih risaukan keadaan Suzie. Sudah beberapa kali mereka bermalam berduaan didalam rumah, tiada siapa yang peduli. Walau teman lelaki Suzie sendiri yang kelihatannya terlalu sering menyakitkan hati Suzie, tidak kiralah siapa dia, atau adakah dia orang yang sama atau terdiri dari beberapa orang. Kudin sudah tidak berminat untuk ambil tahu, ataupun membela nasib malang Suzie dengan membelasah lelaki-lelaki sialan itu. Kudin tahu Suzie akan kembali kepada mereka walaupun berkali dikecewakan, atau sememangnya perempuan ini terlalu mudah untuk kecewa dengan semua perkara.
Dua perkara yang Kudin belajar, pertamanya, Suzie akan melupakan kekecewaannya setelah bangun dari tidur diwaktu pagi setelah kepenatan menangis, segar dan seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Kedua, Kudin juga sedar dia mungkin telah berjaya menjumpai kes sindrom depresi yang mengakibatkan wanita tidak mampu membuka pintu rumah mereka sendiri yang pertama dalam sejarah perubatan psikologi.
..bersambung di lain media (setelah aku selesai berlatih lagu-lagu dan membina keyakinan diri damn it!)