Wednesday, December 2, 2009

Orang Hodoh Cantik: Tebing Tanjung, Rumah Api.

Untuk batang yang keberapa rokok yang dinyalakan oleh Suraya petang itu, Karim dan dia hanya mampu melihat, jauh sekali untuk menasihat. Mereka semua datang ke tempat ini dengan tujuan tersendiri. Mereka faham kenapa Suraya mahu berada disini bersama mereka, mereka faham kenapa Suraya mahu melarikan diri, mereka faham kenapa Suraya mahu rosakkan paru-parunya sendiri. Mereka juga begitu.

Nyalaan api dan asap dari unggun diantara mereka bertiga sudah semakin terpadam dan bertimbun. Karim keluarkan surat yang terakhir dari kotak kayu, lalu membacanya.

…. Hari ini penderitaan Fatimah sudah berakhir.Tuhan telah menjemputnya ke syurga meninggalkan saya dan Karim untuk selamanya. Saya cuba mencari perasaan kehilangan, perasaan pilu yang bakal melukakan hati tapi saya hanya mampu merasai kekosongan. Jiwa yang dahulunya masih kosong semakin kosong tidak diisi. Satu-satunya kesedihan yang saya rasa, adalah kenyataan, dan persoalan, kenapa ia berakhir seperti ini. Jauh dilubuk hati saya, sentiasa berharap tuhan membuka jalan, membuka hati saya, untuk semua ini menjadi rahmat yang nyata, dan menemukan kami dengan kebahagiaan yang sebenar yang kami cari.

Saya tidak pernah menerima kehadiran Fatimah dalam keterpaksaan. Saya menerima kehadirannya dengan hati yang seterbuka mungkin. Saya membuat perjanjian dengan diri sendiri, untuk membuatkan perhubungan ini paling adil untuk dirinya, dan untuk saya sendiri. Hari-hari, berbulan dan bertahun, hingga mungkin atas rasa nafsu dan bebanan perasaan, janji yang mengikat, saya hadiahkan Fatimah zuriat, saya harap Karim ialah satu keadilan untuk Fatimah.

Mungkin ini semua hukuman tuhan kerana cubaan saya membina kebahagian bukan atas dasar cinta. Tidak kira walau apapun yang saya buat, ia tidak mungkin akan pernah adil untuk Fatimah, bila bayangan awak muncul dalam setiap kehadiran Fatimah. Hingga mungkin akhirnya tuhan melepaskan saya, dengan mengambil Fatimah kembali kepangkuan-Nya.

Saya tidak pernah berasa lega dan tenang apabila ‘dibebaskan’, saya tidak pernah mengetahui kepastian sama ada janji saya sudah dilunaskan. Sebaliknya saya dihukum dengan perasaan bersalah. Mungkin keadilan yang paling muktamad untuk Fatimah, adalah ketika hayatnya, mendengar dari mulut saya sendiri untuk berterus terang, bahawa selama ini dia diperdaya.

Kita semua diperdaya, diperdaya, menderita dan dijadikan hamba, hamba cinta…”

Karim berhenti membacakan ayat-ayat terakhir surat terakhir itu kepada dia dan Suraya. Matanya bergerak perlahan mengikut perenggan-perenggan terakhir, membaca senyap-senyap dalam hati.

Dia dan Suraya mengerti perasaan Karim ketika itu, perenggan-perenggan seterusnya dalam surat itu bukan lagi urusan mereka untuk sibuk dan mahu berkongsi. Segala rahsia didalamnya adalah hak Karim seorang.

Beberapa ketika kemudian, Karim melipat kemas kembali surat itu kedalam sampulnya, melakukannya dengan penuh hormat dan tertib. Karim memandang dia dan Suraya dengan senyuman yang sukar disifatkan, gembira atau pahit, hanya Karim seorang saja yang menanggungnya.

Karim keluarkan pemetik api dari poket, surat terakhir dari Pakcik Miskim, mendiang pakcik Miskim, untuk kekasih gelapnya, yang tidak pernah dikirim, cinta hati pertamanya, dan mungkin satu-satunya untuk selamanya, dibakarnya bersama-sama kisah-kisah, kenangan dan rahsia yang lainnya. Menutup cerita yang kini hanya mereka bertiga sahaja didunia, termasuk Pakcik Miskim dan kekasih gelapnya serta tuhan sahaja yang mengetahui.

Matahari semakin menghampiri garisan pemisah langit dan lautan. Bayu darat bertiup memarakkan lagi surat yang sedang terbakar, membawa segala abu dan bara berterbangan menuruni tebing tanjung kearah laut yang terbentang luas. Permandangan matahari terbenam di rumah api di tepi tanjung petang itu kelihatan jauh lebih indah dari hari-hari lainnya. Karim bangun dari duduk dan menuju kearah paling hujung tanjung itu, lalu menyalakan sebatang rokok dimulutnya, tangan kirinya diseluk kedalam poket seluar, berdiri megah menikmati permandangan indah yang luar biasa petang itu.

Dia dan Suraya masih duduk diatas batang kayu dan batu menghadap timbunan bara dan abu surat-surat yang semakin surut nyalaannya, tidak berkata sepatah perkataan sekalipun.

Walau sepatah perkataan sekalipun.


bersambung......... (di lain media)


No comments: