Tuesday, December 8, 2009

Orang Hodoh Cantik: Taman Safari

Sebulan sekali, Taman Safari akan ditutup hari Ahad bagi memberi peluang pekerjanya berehat dan kerja-kerja penyelenggaraan. Ahad itu, giliran Karim untuk menjaga Taman Safari ketika ketiadaan pelawat. Haiwan-haiwan disitu perlu diberi makan.

Hampir tiga minggu dia tidak berjumpa Karim. Semenjak mereka ke tebing tanjung, rumah api. Semenjak ritual pembakaran surat-surat peninggalan Pakcik Miskim. Petang itu, Karim menelefon dia.

Dia tiba dengan Suraya. Kebetulan Karim menjemput mereka berdua. Karim sudah menerima keadaan, kini Suraya adalah sebahagian dari kumpulan sahabat mereka. Karim bercadang memberi sedikit hadiah kejutan untuk kedua sahabat karibnya itu. Mungkin untuk meraikan perhubungan mereka.

Di pintu hadapan Taman Safari Karim sudah menunggu. Dia mengangkat tangan pada pengawai keselamatan yang juga kenalan mereka. Hari ini mereka masuk percuma, kerana hari ini mereka berdua sahaja yang melawat Taman Safari.

Walaupun Karim tahu itu bukan pertama kali mereka berdua ke Taman Safari, tapi kali ini dia bercadang memberi mereka peluang merasai pengalaman yang lebih istimewa. Peluang memberi makan haiwan-haiwan di Taman Safari itu dalam kurungan mereka. Walaupun sebenarnya itu bukanlah pengalaman yang paling menyeronokkan didunia.

Kecuali ketika Karim, dibantu oleh dia, sedang menolak troli tempat bekas-bekas mengisi makanan dan minuman, berserta satu kotak kayu penuh berisi wain merah mewah. Karim beritahu dia, semua itu dicuri dari bilik simpanan majikannya yang suka menyeleweng dan makan rasuah. Wang hasil derma untuk kebajikan haiwan di Taman Safari itu selalu diambil separuh untuk kegunaan peribadi majikan Karim itu.

Dia hanya tersenyum sinis mendengar penjelasan Karim. Suraya melihat dengan hairan gelagat kedua lelaki itu. Suraya tidak mengerti apa yang begitu kelakar, Suraya tidak mendengar perbualan mereka tadi. Suraya juga tidak mengerti dimana datangnya botol-botol wain yang mahal itu, dan untuk siapa.

“Bukan awak sudah berhenti minum Karim?” Suraya bertanya.

“Owh, ini bukan untuk saya, ini untuk mereka yang lebih layak” Karim jawab.

Kini mereka sudah berada didalam kurungan bersama sekumpulan zirafah. Dia membantu Karim membuka gabus penutup botol-botol wain itu lalu mereka menuangkan hampir sebotol kedalam bekas minuman kumpulan zirafah itu.

Suraya ketika itu sedang sibuk menghulurkan daun-daun ke mulut seekor zirafah seperti tidak percaya melihat apa yang sedang dilakukan oleh mereka berdua.

“Awak berdua buat apa tu?” Suraya tanya.

“Kami sedang ‘membebaskan’ haiwan-haiwan ini” Karim jawab.

“Awak berdua memang gila” Suraya balas.

Selepas ‘membebaskan’ zirafah, mereka ‘bebaskan’ sekumpulan rusa, kemudian sekumpulan bangau. Mereka hadiahkan sebotol kepada seekor orang utan, orang utan itu minum wain merah mewah itu terus dari botolnya. Kemudian Karim keluarkan sebiji pil putih dari plastik didalam poket seluarnya, kemudian disumbatkan pil putih itu kedalam sebiji pisang yang siap dikupas kulitnya dan dihulurkan kepada orang utan itu.

Dia melihat dengan wajah terkejut. “Kau masih berkawan dengan Tony?” Dia tanya Karim .

“Jangan risau, ini yang terakhir. Tony hadiahkan pada aku. Katanya dia takut aku dipresi lepas ayah aku mati. Lagipun aku tak gunakan untuk aku. ‘Kawan’ aku ini jauh lebih dipresi dikurung disini” Karim jawab. Orang utan itu memakan habis pisang itu dengan sekali suap. Botol wain merah mewah tadi masih dipegang orang utan itu dengan kemas pada tangannya yang sebelah lagi.

Dia memandang wajah sahabat karibnya itu yang tidak menggambarkan apa-apa perasaan. Sukar dibuat tafsiran.

“Cukup, semua ini tak kelakar. Saya sangka awak sudah berubah Karim. Dan awak”, Suraya pandang tepat kearah dia, “saya betul kecewa dengan awak. Awak berdua buatlah apa yang awak suka, saya nak balik” kata Suraya dengan nada kecewa. Lalu Suraya melangkah menuju kearah pintu gerbang meninggalkan mereka berdua.

Dia sudah melukakan hati gadis yang disukainya, tanpa sengaja dibantu sahabat karibnya. Semuanya tidak disangka, perasaan mula bertukar kesal.



bersambung......... (di lain media)


2 comments:

Penanam Sayur said...

apakah maksud bersambung di lain media?

FdausAmad said...

dalam cerita kau...