Monday, June 29, 2009

Home Improvement 26

Tangan-tangan yang masih kecil, ditekap pada cermin. Di luarnya ialah permandangan sebuah dunia magikal yang dipenuhi pohon-pohon tinggi sepanjang jalan, dan dicelah-celah himpunan dahan dan daun pohon itu ada cahaya yang datang dari sebuah istana yang dibina dari kaca dan ais-krim vanila (?), dan set lego(?), dan playdoh (?). Didalam istana itu ada naga, ada kesatria, ada voltron (?), ada thundercats (?) serta koboi (?) hidup bersama-sama.

Suara ayahnya akan memberitahu mereka akan menuju kesebuah tempat rahsia, tempat dimana semua hero-hero dan kesatria itu akan berada, tempat rahsia disebalik pohon-pohon tinggi disepanjang jalan.

Kemudian suara ibunya akan menyampuk. "Oh stop corrupting his mind, sayang. Kita akan ke pantai."

Lagu-lagu Stone Roses akan mengiringi perjalanan mereka, bersama pohon-pohon tinggi, istana magikal, pantai memutih, memori indah bersama ibu dan ayahnya. Didalam kereta yang usianya lebih tua dari dirinya, yang telah bersamanya seumur hidup Si Lelaki. 

Ayahnya tentu berbangga kerana legasi itu hampir berjaya disambung. Biarpun lagu-lagu zamannya telah ditukar ganti kepada irama The Postal Service dan Death Cab For Cutie. Kereta tua yang banyak berjasa, masih menjadi sebahagian memori indah anaknya, Si Lelaki. 

Bila Si Dia menurunkan cermin tingkap seluasnya, kedua tangannya akan disilangkan pada bibir tingkap, menahan dagunya, menghirup udara petang, melihat barisan pohon-pohon tinggi yang sama sepanjang jalan. Membiarkan rambutnya yang panjang mengurai bebas ditiup angin.
 
Menuju ke pantai, yang kini Si Lelaki dan Si Dia panggilnya 'ke arah matahari dan lautan bertemu'. Kerana belum ada generasi ketiga yang boleh dianak-anakkan fikirannya. 

Atau jika dia diberi kesempatan untuk ditakdirkan wujud membuka mata melihat dunia, melihat apa yang dilihat mereka berdua.