Wednesday, June 22, 2011

Republik Kutu - Sudah Terbit


Aku ada menulis tiga cerita dalam ini buku. Jika kamu orang rasa aku sudah cukup power, 8 orang lagi penulis dalam buku ini lagi power dari aku, jadi bagaimana harus aku terangkan lagi kepoweran buku ini?

Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku Republik Kutu secara dalam talian, sila ikut langkah-langkah dibawah secara teliti:


Republik Kutu

RM20

Pos Laju RM5

Pos Biasa-biasa RM1


1. Buat pembayaran ke akaun berikut:

- 12040524566525 (CIMB)
- Penama: Nik Adam Ahmad B. Nik Rasdee


2. Hantar e-mel bertajuk 'Republik Kutu' ke nikadam88@gmail.com dengan menyertakan sekali:


-bukti pembayaran (scan resit)
-Nama penuh
-No Telefon
-Alamat


3. Sabar menunggu Republik Kutu sampai ke rumah. (bergantung pada kelajuan abang posmen)

Juga boleh membuat tempahan melalui saya.. err.. melalui aku. Selepas itu aku akan berusaha mencari wang untuk didahulukan untuk membeli dari penerbit dan berharap orang menempah itu serius untuk membeli dan tidak mempermain-mainkan perasaan aku.


Untuk maklumat lanjut sila ke: Republik Kutu



Monday, June 13, 2011

Orang Hodoh Cantik: Duan


"Duan, gagal sekali tidak bermakna... " tiba-tiba tangan kanan Pak Syakir rebah atas perutnya. Matanya pejam dan nafasnya kaku. Itulah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Pak Syakir sebelum mati mengejut terkena serangan jantung. Kata-kata terakhir mendiang bapanya itu melekat terus dalam ingatan Duan hingga ke hari ini. Walaupun kedengaran keras untuk seorang remaja autisme seperti dirinya, tetapi secara tidak langsung kata-kata itu telah merubah Duan menjadi seorang yang tidak akan bertoleransi dengan kegagalan dalam setiap misi hidupnya selepas itu. Amanat terakhir, ataupun mungkin amaran terakhir bapanya itu, dipegang sebagai azimat. Jangan sesekali gagal, tiada maknanya dalam hidup!

Monday, June 6, 2011

Orang Hodoh Cantik: Jauhari

Karim dan Dia menganggap diri mereka sebagai pencinta muzik yang paling signifikan sekali di dalam bandar kecil ini (baiklah, mulai sekarang 'Dia' akan digantinamakan sebagai Munir memandangkan terlalu ramai pembaca yang lemah daya pemahamannya terkeliru). Walaupun Suraya lebih melihat mereka sebagai dua orang hipster yang sombong yang suka memandang rendah golongan yang tidak berkongsi citarasa dengan mereka. Hinggakan peribadi manusia dinilai terlebih dahulu melalui citarasa muzik mereka (termasuk dalam pemilihan teman wanita). Semuanya harus 'betul'. Mendengar muzik yang 'betul', membaca buku yang 'betul' dan melihat filem yang 'betul'. "Segalanya saling berkait" tegas Munir. Apabila Suraya berseloroh tentang seseorang yang membaca kitab suci, mendengar dan menonton lagu dan filem dakwah, Munir membuat pandangan kosong ke langit yang kosong, sementara Karim pula pura-pura mati.

Walaupun begitu, Karim dan Munir telah menubuhkan satu kugiran yang paling teruk dalam sejarah para hipster. Walaupun ianya hanya disengajakan, memandangkan bakat mereka bermain alatan muzik tidaklah seberapa. Pada suatu hari Karim telah memenangi wang pampasan dari kecederaan tulang rusuknya patah ditendang kuda ketika membersihkan kandang, lalu dia telah menggunakan wang itu untuk membeli dua biji keyboard murah berjenama Yamaha.

"Mari tubuhkan satu band satira, kita main lagu-lagu synthpop". Cadang Karim ketika mereka sedang khayal menghisap ganja. "bagus cadangan itu, insyaallah" balas Munir.

Pada awalnya mereka bercadang menamakan kugiran mereka Parti Pekerja Nihilis (PENIS sebagai singkatan), tetapi Karim menganggap ianya tidak kedengaran seperti nama yang sesuai untuk sebuah kugiran synthpop.

Kemudian Munir mencadangkan Duran Duran Duran (tiga kali 'Duran' berbanding kugiran 80-an dulu). Tetapi baru mereka teringat sudah ada sebuah kugiran noise menggunakan nama tersebut. Jika mereka namakan kumpulan mereka Duran Duran Duran Duran (empat kali), ianya sudah tidak 'cool' lagi dan pasti selepas itu akan ada yang meniru dengan menamakan kugiran mereka Duran Duran Duran Duran Duran dan seterusnya Duran Duran Duran Duran Duran Duran, ataupun Duran Duran Duran Duran Duran Duran Duran.

Lalu akhirnya mereka pun bersetuju menamakan kugiran mereka Duan Duan. Ianya adalah sempena nama Duan, seorang remaja autisme yang acapkali mereka selamatkan apabila dibuli oleh kanak-kanak lain.

Seminggu kemudian, mereka sudah sibuk mengarang lagu-lagu Duan Duan dalam irama yang synthpop yang paling 'cheesy' sekali selagi ia mengjengkelkan para pendengar yang tidak mengetahui apa-apa tentang muzik dan bercitarasa buruk itu semua. Mereka merujuk kepada kugiran-kugiran synthpop 80-an yang paling tidak terkenal dan cheesy sekali sebagai pengaruh muzik mereka. Mereka pastikan tajuk lagu-lagu mereka menggunakan ayat yang sepanjang lima atau enam baris perkataan. 'Jikalau Kau Pergi, Siapa Yang Tinggal?', 'Malam Ini Sejuk, Mari Peluk Aku', 'Jikalau Cinta Kau Begitu Berharga Dah Lama Aku Jual', 'Yang Terindah Itu Hanyalah Sementara, Jadi Cintailah Aku Walau Sekejap Sahaja' dan sebagainya. Walaupun liriknya tiada kaitan langsung dengan tajuk lagu-lagu tersebut, sebaliknya menceritakan tentang membakar rumah perempuan yang sombong, tentang memancitkan tayar kereta penyelia, tentang seekor kucing bernama Johnny, tentang menghapuskan undang-undang yang melarang memijak rumput dan sebuah lagu yang liriknya dipetik seratus peratus dari beberapa perenggan sebuah manual mesin basuh yang mereka jumpa di rumah Munir.

Untuk menguatkan lagi imej synthpop mereka, Munir telah membuat potongan rambut ala mullet, sementara Karim telah membeli sehelai t-shirt dengan gambar David Bowie yang dibeli disebuah kedai bundle.

Ketika penampilan pertama Duan Duan di sebuah gig punk, persembahan mereka disambut dengan muka-muka yang terpinga. Hanya Suraya yang menjerit dihadapan pentas memberi sokongan. Hanya selepas lagu keempat, apabila beberapa penonton yang mabuk sudah mula memahami satira didalam lagu mereka dan persembahan mereka, barulah terdapat beberapa tepukan dan sorakkan penonton. Persembahan kedua mereka juga disebuah gig punk, selain Suraya, sudah ada beberapa kenalan lain yang mendengar dari buah mulut orang mula berkumpul dan memberi sokongan didepan pentas. Walaupun mereka lebih seperti menonton persembahan sketsa dari menikmati persembahan muzik dari dua orang peminat muzik paling bercitarasa tinggi dikalangan mereka.

Akhirnya hasil buah mulut rakan-rakan dan kenalan, Duan Duan dijemput menyertai persembahan konsert yang disertai kugiran-kugiran terkenal dan komersil. Ketika giliran mereka membuat persembahan, sudah terdapat suara-suara sumbang dari kalangan penonton yang mempertikaikan suara sumbang nyanyian mereka. Ada pula seorang pemuda yang memakai t-shirt yang tertulis perkataan 'Saya Indie' meminta mereka memainkan lagu Muse, dan seorang lagi yang memakai t-shirt Bob Marley meminta mereka memainkan lagu Bob Marley. Selepas itu ada pula seorang lelaki berambut panjang yang memakai t-shirt Iron Maiden menjerit menyuruh mereka memainkan lagu Metalica kemudian membaling botol air plastik kearah mereka. Botol itu tepat mengenai kepala Munir dan serta-merta Munir berhenti bermain kibodnya. Karim pula mencapai botol yang terkena kepala Munir tadi dan membalingnya ke arah lelaki berambut panjang itu tetapi terkena orang lain yang memakai t-shirt Matchbox 20. Lelaki itu menjerit ke arah mereka, diikuti dengan beberapa orang rakan mereka. Beberapa biji botol air palstik kelihatan terbang ke arah Munir dan Karim.

Selepas beberapa siri adegan membalas balingan botol air plastik serta jeritan makian dari atas dan bawah pentas akhirnya pihak penganjur membatalkan konsert tersebut dan kesemua mereka yang merusuh diberkas pasukan keselamatan yang ditugaskan menjaga ketenteraman.

Keesokkan paginya Karim dan Munir duduk minum satu meja bersama dengan Suraya. Mereka berdua tersenyum dengan kesan lebam di mata masing-masing. Apabila Suraya bertanya apa yang telah terjadi, kerana dia tidak menghadiri konsert berkenaan, serentak mereka menjawab:

"inilah namanya perjuangan seni"