Semalam seperti biasa saya keseorangan dirumah sambil berlatih bermain alat-alat musik. Sudah hampir sebulan saya tinggal berseorangan. Ketika sedang cuba mengkomposisi lagu baru saya mengalami masalah yang disebut, masalah tidak ada idea. Segala bunyian yang keluar tidak memuaskan hati, lalu saya susah hati.
Ketika saya susah hati, saya terpandang komputer riba lama saya yang kewujudannya itu seperti peribahasa melayu, hidup segan mati tak mahu itu. Lalu saya pun menghidupkan komputer riba yang segan hidup tak mahu mampos itu kerana didalam cakera kerasnya masih tersimpan puluhan sampler yang saya rakam dan muat turun semenjak 2003. Saya bercadang untuk mendengar hampir kesemuanya sekali dengan harapan terjumpa sampler yang sedap untuk digunakan.
Lalu, dengan tiba-tiba, komputer riba itupun hidup!! (setelah butang 'on' ditekan). Dan ketika saya terjumpa satu folder bernama 'Seram', keadaan adalah tenang dan tiada musik yang mencemaskan langsung bagi menggambarkan situasi yang cemas berkumandang di udara. Saya rilek-rilek sambil hembus asap rokok.
Dalam folder bertajuk 'seram' itu hanya terdapat tiga sampler berformat WAV. Lalu sayapun dengar satu persatu. Ianya seakan bunyian 'noise' yang dirakam dari radio yang sengaja diubah frekuensinya supaya mengeluarkan bunyian 'noise' yang sekali-sekala ada pitch yang beroktav bersegi. Bunyian 'noise' dari radio itu telah saya ubahsuai untuk dijadikan looping yang kedengaran 'jahat' dalam definisi musik berunsur elektronika. Ketika itu juga jarum jam menunjukkan sudah hampir tengah malam. Saya pun mendengar ulangan sampler itu dengan teliti sambil membayangkan ia digunakan untuk bassline sebuah lagu elektronika berentak 'jahat'. Sambil mendengar saya cuba mengingat kembali waktu bilakah saya merakam sampler itu, mungkin ketika dikampung apabila saya bermain dengan frekuensi radio AM bagi mendapatkan bunyian 'noise' yang sedap. Mungkin juga sekali-sekala saya ter-tune-in frekuensi stesen radio ntah apa-apa dari Baghdad ataupun Tunasia ataupun Tibet, ataupun dari Planet Vargus, ataupun dari alam....
Lantas kepala saya dilanda idea lalu saya membiarkan bunyian sampler itu terus berulang dari komputer riba saya itu sambil saya cuba mencari bunyian verse yang sesuai untuk dipadankan dari mesin sintersizer saya.
Idea datang mencurah-curah, setiap key yang saya tekan dan ubahsuai seakan kena dengan bunyian sampler 'seram' dan 'jahat' yang terus berulang itu. Bagai magis, sebuah struktur lagu yang lengkap hampir terbentuk walaupun key yang ditekan adalah spontan. Beat yang digunakan dari tadi yang macam celaka bunyinya tiba-tiba jadi macam ngam dengan segala bunyian yang sedang berkumandang. Sedar tak sedar kepala saya mula bergoyang seiring rentak yang menggambarkan musik yang keluar secara spontan itu sekarang adalah sedap.
Tiba tiba,
mata saya pedih kerana terkena asap rokok dimulut.
Selepas kejadian cemas itu, keadaan kembali tenang, cuma...
Ketika saya asyik menekan-nekan key sambil goyang kepala, bunyi yang telah diset pada mesin sintersizer telah bertukar dengan sendiri. Saya pun hairan tetapi buat-buat rilek dan tabah. Ubah kembali kepada setting yang sebelumnya dan sambung menekan-nekan key. Sekali lagi kejadian yang sama berlaku, kali ini lebih hebat bila butang kawalan oktav mesin sintersizer yang memang ketat itu seolah ditekan dan semua bunyian jadi lain dan dah tak sedap.
Bingung dan dalam keadaan yang tanpa kepastian, sesat dan buntu. Saya mula syak mesin sintersizer saya sudah rosak. Namun berbekalkan semangat pahlawan saya set-kan kembali pada setting asal dan terus bermain muzik tanpa pedulikan dunia. Dan kejadian yang sama berulang kembali.
Kali ini perasaan berang bertukar seram. Terus saya hentikan permainan. Segala alatan musik terus saya padam dengan terus mematikan bekalan pada soket. Bunyian sampler yang masih berulang dari komputer riba itu juga saya matikan dengan terus mencabut adapter dari komputer.
Saya duduk disofa dalam suasana yang kembali senyap untuk menenangkan diri bila tiba-tiba hidung saya disengat bauan wangi dan bulu roma ditengkuk seperti terkena kejutan elektrik. Tanpa terus berlengah saya terus mencapai kunci kereta dan keluar memandu untuk kerumah kawan untuk menziarahi beliau pada pukul 1.30 pagi.
Akibat penat menziarahi rumah kawan saya itu saya tertidur dirumah beliau hingga lupa untuk pulang dan tidur dirumah sendiri walaupun hakikatnya saya seorang yang berani dan berjiwa kental dan hanya takut pada tuhan.
Sekian.