Aku terkejut dari tidur diatas sofa dengan rasa sakit pada bibir. Tak sedar tangan aku masih memegang remote Astro Beyond dan terketuk mulut sendiri dengannya ketika cuba menggaru kegatalan. Di televisyen yang terpasang sepanjang malam sedang menayangkan cerita tentang perang saudara Amerika di History Channel. Lampu rumah terang benderang. Cermin mata masih terlekat di wajah.
Sambil meraba mulut untuk rasa jika ada luka dan pendarahan, ketika dalam keadaan kekeliruan itu, aku cuba establish a sense of time, langit diluar masih lagi gelap, sama ada ini subuh atau senja. Aku tekan butang remote Astro untuk tengok jam sistem tentera. 0430.
Tiba-tiba tekak terasa dahaga, bersusah payah aku bangun dan berjalan dengan secara kurang seimbang ke arah dapur dan membuka peti ais, ambil satu botol plastik besar dan meneguk air kosong sejuk terus dari botol. Aku hampir tertelan sesuatu yang kecil dan keras tetapi berjaya diluahkan dan mengepitnya dengan jari penunjuk dan ibu jari tangan kanan dari dalam mulut.
Objek kecil dan keras dan berwarna putih bersih itu kelihatan seperti serpihan sebatang gigi. Aku mula merasa dengan lidah mencari gigi mana yang pipih, rupanya gigi geraham kecil sebelah atas rahang yang tinggal separuh, bahagian belakangnya sudah rompong, rasa ngilu disitu.
Rasa mengantuk terus lenyap, kesegaran pagi mula menyelinap kesegenap pancaindera. Aku melihat lebih teliti serpihan gigi seputih salju itu diatas tapak tangan kanan, menyedari aku sedang memegang sebahagian dari diri aku yang sudah terpisah dari tubuh, menimbulkan satu perasaan detachment yang tidak berapa overwhelming, agaknya beginilah perasaan orang putus cinta, fikir aku. Takdelah pedih sangat.
Tiba-tiba serpihan gigi putih suci itu terlepas dari tangan dan jatuh ke atas lantai berjubin dapur yang hampir menandingi keputihannya, hilang dari pandangan. Aku melutut dan menepak kedua tapak tangan pada lantai, mengimbas perimeter lantai yang aku rasa serpihan gigi mungkin berada.
Gagal mengesan, aku turunkan lagi badan hingga meniarap dan menilik dibawah peti ais, terlalu malap untuk pandangan mata kasar, aku cuba selukkan tangan dan meraba di bawah peti ais. Tangan aku terasa sesuatu yang kesat dan nipis, aku menariknya keluar, sebuah kad bisnes seorang ajen hartanah. Aku pernah berjumpa tuan punya kad, sebelum permohonan pinjaman perumahan aku ditolak. Aku selukkan lagi tangan dan meraba lagi, akhirnya hasilnya adalah sebiji penutup botol, sebatang garfu, satu cable tie yang terputus, dan habuk serta sawang.
Aku bangun melutut kembali dan merangkak dengan dua lutut dan tapak tangan kearah bawah sinki. Ada gumpalan kain buruk yang lembab dan berbau kepam, sengaja aku letakkan untuk menyerap air yang terpercik ketika membasuh pinggan dengan ganas. Melawan perasaan geli, aku menyelak gumpalan kain buruk, tiada kesan serpihan gigi, hanya seekor lipas melintas celah kangkangan kaki aku yang melutut membuat aku terkejut lalu kepala aku terhantuk pada sinki. Sakit tetapi sebab diri strong dan athletic, sakit itu tidak seberapa.
Aku teruskan lagi pencarian hingga ke kawasan berhampiran dapur memasak, dibawah satu meja dimana aku letakkan perkakasan dapur dan barangan kering, terdapat satu kotak kadbod periuk nasi yang aku beli suatu ketika dulu, yang aku guna untuk menyimpan plastik hitam sampah. Aku periksa sekitarnya, hampa. Aku merangkak pula kearah satu tong plastik tempat aku menyimpan beras, juga kecewa. Aku bergerak lagi kearah tong gas, juga tiada, yang ada cuma sebaris semut yang mencuri gula dan cebisan makanan, lalu aku menegur mereka dengan sopan dan beradab;
"Hey there little shitworkers, ada nampak serpihan gigi saya yang seputih hamparan awan?"
Mereka tidak membalas teguran dan pertanyaan aku. Sungguh biadap. Namun aku berikan mereka peluang hidup dan biarkan mereka membawa lari hasil pencurian mereka.
Aku merangkak lagi hingga ke kawasan tepi dinding berhampiran pintu rumah. Disitu aku susun kasut-kasut sukan aku dan kasut-kasut berjenama, setelah kejadian kasutku pernah dicuri walaupun diletakkan ddidalam kawasan bergril diluar pintu. Disitu juga bersepah dengan peralatan dan perkakasan membaikpulih basikal, tiub tayar lama, potongan cable tie, botol gris pelincir dan dw-40. Basikalku juga disandarkan pada dinding berhampiran, stand basikal yang diberi percuma kadang-kadang sahaja digunakan. Ketika melintasi kawasan disekitar basikal, aku mula perasan kesan calar balar yang ketara dibahagian bawah rangka basikal. Perlahan aku duduk melutut sambil menepuk basikal itu dan berbicara kepadanya seperti berbicara dengan seorang kenalan lama, bukan dengan seorang makwe, basikalku lelaki dan berwarna hitam. Basikal Bart Ahmad je perempuan dan berwarna merah, rim pula berwarna putih.
"pretty beaten-up there tough guy. Sorry man, should be more careful on you" kataku dengan nada bersalah.
Sambil itu mata aku liar memerhati lantai dikawasan sekitar, masih tiada kelibat serpihan gigi. Yang kujumpa hanya sebatang allen key bersaiz paling kecil yang sudah dua minggu aku tercari-cari. Pencarian aku diteruskan lagi dengan merangkak hingga ke kawasan bawah meja makan. Aku menolak kerusi dan mengimbas lantai bawah meja, ada resit barangan runcit dan Book Excess, juga beberapa gelung getah pengikat. Tiba-tiba mataku silau disinari cahaya putih yang terpantul dari objek yang seputih hati orang beriman, akhirnya pencarian penuh kesabaran dan kegigihan aku itu menemui kejayaan. Aku kutip serpihan gigi itu dan duduk melutut tersenyum puas.
Kedua lutut dan tapak tangan kehitaman dan kotor dengan kesan habuk. Kedengaran surau di hadapan rumah memasang kaset mengaji, langit dari celah langsir dan skrin kaca balkoni mula kecerahan. Baru aku sedar hampir sejam aku merangkak dilantai disekitar kawasan separuh rumah.
Aku tatap lagi serpihan gigi di tangan. Apa yang aku nak buat dengannya? Akhirnya aku letakkannya di atas rak buku berhampiran tingkap dibilik tidur. Untung-untung malam nanti ada pari-pari lepprikon datang dan mengggantikannya dengan sekeping syiling emas. Boleh aku gunakannya nanti untuk membeli cinta.
1 comment:
stailo ah.
Memang selalunya begitulah.
Post a Comment