Tuesday, April 13, 2010

The Chalatchalat

Tahun 2003 dahulu aku ada buat kumpulan muzik perseorangan yang dipanggil Geezmokid. Jika tidak silap aku, Geezmokid merupakan kugiran terawal di Malaysia, atau mungkin satu-satunya yang bermain genra muzik glitchcore. Seperti biasa, rakyat negara ini belum bersedia untuk sesuatu yang sangat mengejutkan seperti itu. Selepas tiga pertunjukan, Geezmokid senyap begitu sahaja. Aku sempat merakam lima lagu tapi tidak pernah mencetaknya dalam bentuk CD. Aku muat naikkan dalam Amazon.com untuk orang muat turun secara percuma. Aku ingat cuma seorang sahaja warganegara Malaysia berbangsa cina dari Batu Pahat yang bekerja di Singapura yang memberikan reaksi yang positif. Rakyat tempatan yang bercitarasa sangat bagus dalam muzik itu juga merupakan pakar pengubahsuai pedal efek gitar yang terawal, atau mungkin juga satu-satunya di Malaysia ketika itu. Jadi tidak hairanlah, dua orang individu harapan perdana menteri yang berani melakukan perkara yang tidak pernah dibuat oleh rakan senegaranya yang lain, untuk saling memahami dan menghargai satu-sama lain. Tapi itu cerita lama.  

Awal tahun ini, aku menubuhkan kumpulan perseorangan yang baru, The Chalatchalat. Walaupun masih bermain muzik berasaskan electro/electronika, The Chalatchalat lebih 'pop' dan 'jinak'. 

Dari glitchcore ke elektronik pop. Bagi siapa yang kurang peka pada generalisasi muzik, itu merupakan perubahan yang sangat besar. Umpama dari sebuah band yang bermain muzik grind telah bertukar kepada muzik indiepop. Namun apakan daya, kerana memenuhi tuntutan pasaran makwe masakini, aku telah beralih arah untuk menjadi lebih mesra pendengar. Mungkin juga faktor usia, irama tidak konvensional dan mencabar norma seperti glitchcore/electronoise seperti sudah tidak signifikan dengan jiwa aku lagi. Budak-budak era 'indie' zaman sekarang sudah tidak tahu menghargai muzik seperti itu lagi, ataupun memang tak pernah. 

Pengajaran dari semua ini, seorang pemberontak dan pencetus revolusi tidak akan berpeluang untuk didampingi makwe-makwe groupie. Oleh itu jangan mencabar norma dan ikut sahaja sebagai seorang konformis sejati. 

Dan berlajarlah bermain gitar akustik. 


Saturday, March 27, 2010

Bulan Paling Pendek

Ok, 1 April ni aku free sikit untuk bercinta. 

Eh, april fool ke?

Aah takde-takde, aku serius ni.

Tuesday, March 16, 2010

Pengalaman Saya Bersama Hantu

Semalam seperti biasa saya keseorangan dirumah sambil berlatih bermain alat-alat musik. Sudah hampir sebulan saya tinggal berseorangan. Ketika sedang cuba mengkomposisi lagu baru saya mengalami masalah yang disebut, masalah tidak ada idea. Segala bunyian yang keluar tidak memuaskan hati, lalu saya susah hati. 

Ketika saya susah hati, saya terpandang komputer riba lama saya yang kewujudannya itu seperti peribahasa melayu, hidup segan mati tak mahu itu. Lalu saya pun menghidupkan komputer riba yang segan hidup tak mahu mampos itu kerana didalam cakera kerasnya masih tersimpan puluhan sampler yang saya rakam dan muat turun semenjak 2003. Saya bercadang untuk mendengar hampir kesemuanya sekali dengan harapan terjumpa sampler yang sedap untuk digunakan. 

Lalu, dengan tiba-tiba, komputer riba itupun hidup!! (setelah butang 'on' ditekan). Dan ketika saya terjumpa satu folder bernama 'Seram', keadaan adalah tenang dan tiada musik yang mencemaskan langsung bagi menggambarkan situasi yang cemas berkumandang di udara. Saya rilek-rilek sambil hembus asap rokok.  

Dalam folder bertajuk 'seram' itu hanya terdapat tiga sampler berformat WAV. Lalu sayapun dengar satu persatu. Ianya seakan bunyian 'noise' yang dirakam dari radio yang sengaja diubah frekuensinya supaya mengeluarkan bunyian 'noise' yang sekali-sekala ada pitch yang beroktav bersegi. Bunyian 'noise' dari radio itu telah saya ubahsuai untuk dijadikan looping yang kedengaran 'jahat' dalam definisi musik berunsur elektronika. Ketika itu juga jarum jam menunjukkan sudah hampir tengah malam. Saya pun mendengar ulangan sampler itu dengan teliti sambil membayangkan ia digunakan untuk bassline sebuah lagu elektronika berentak 'jahat'. Sambil mendengar saya cuba mengingat kembali waktu bilakah saya merakam sampler itu, mungkin ketika dikampung apabila saya bermain dengan frekuensi radio AM bagi mendapatkan bunyian 'noise' yang sedap. Mungkin juga sekali-sekala saya ter-tune-in frekuensi stesen radio ntah apa-apa dari Baghdad ataupun Tunasia ataupun Tibet, ataupun dari Planet Vargus, ataupun dari alam....  

Lantas kepala saya dilanda idea lalu saya membiarkan bunyian sampler itu terus berulang dari komputer riba saya itu sambil saya cuba mencari bunyian verse yang sesuai untuk dipadankan dari mesin sintersizer saya. 

Idea datang mencurah-curah, setiap key yang saya tekan dan ubahsuai seakan kena dengan bunyian sampler 'seram' dan 'jahat' yang terus berulang itu. Bagai magis, sebuah struktur lagu yang lengkap hampir terbentuk walaupun key yang ditekan adalah spontan. Beat yang digunakan dari tadi yang macam celaka bunyinya tiba-tiba jadi macam ngam dengan segala bunyian yang sedang berkumandang. Sedar tak sedar kepala saya mula bergoyang seiring rentak yang menggambarkan musik yang keluar secara spontan itu sekarang adalah sedap. 

Tiba tiba,

mata saya pedih kerana terkena asap rokok dimulut.

Selepas kejadian cemas itu, keadaan kembali tenang, cuma...

Ketika saya asyik menekan-nekan key sambil goyang kepala, bunyi yang telah diset pada mesin sintersizer telah bertukar dengan sendiri. Saya pun hairan tetapi buat-buat rilek dan tabah. Ubah kembali kepada setting yang sebelumnya dan sambung menekan-nekan key. Sekali lagi kejadian yang sama berlaku, kali ini lebih hebat bila butang kawalan oktav mesin sintersizer yang memang ketat itu seolah ditekan dan semua bunyian jadi lain dan dah tak sedap. 

Bingung dan dalam keadaan yang tanpa kepastian, sesat dan buntu. Saya mula syak mesin sintersizer saya sudah rosak. Namun berbekalkan semangat pahlawan saya set-kan kembali pada setting asal dan terus bermain muzik tanpa pedulikan dunia. Dan kejadian yang sama berulang kembali.

Kali ini perasaan berang bertukar seram. Terus saya hentikan permainan. Segala alatan musik terus saya padam dengan terus mematikan bekalan pada soket. Bunyian sampler yang masih berulang dari komputer riba itu juga saya matikan dengan terus mencabut adapter dari komputer. 

Saya duduk disofa dalam suasana yang kembali senyap untuk menenangkan diri bila tiba-tiba hidung saya disengat bauan wangi dan bulu roma ditengkuk seperti terkena kejutan elektrik. Tanpa terus berlengah saya terus mencapai kunci kereta dan keluar memandu untuk kerumah kawan untuk menziarahi beliau pada pukul 1.30 pagi.

Akibat penat menziarahi rumah kawan saya itu saya tertidur dirumah beliau hingga lupa untuk pulang dan tidur dirumah sendiri walaupun hakikatnya saya seorang yang berani dan berjiwa kental dan hanya takut pada tuhan.

Sekian. 

Thursday, March 11, 2010

Aktiviti Sihat


Kerana aku ada kualiti lain, selain menulenkan bijih besi dan kelihatan seksi.

Thursday, February 18, 2010

Main Gila


Siapa nak dengar suara sedap I, ingat-ingatlah orang tersayang, ye. Siapa yang nak shuffle tu, ingat-ingatlah juga orang tersayang ye, serta maruah keluarga.

Datang jangan tak datang yay! Datang jangan tak datang, yay!

Wednesday, February 17, 2010

Orang Hodoh Cantik: Kadir

Bila segalanya kembali terang, Kadir menyedari dirinya tiba-tiba berada di bawah sinki, terbaring di lantai berjubin yang sedikit berair dan sejuk. Kepalanya diserang kesakitan yang hebat. Air sedang menderu mengalir dari kepala pili, diikuti dengan lagu ‘Soul Meets Body’ dari Death Cab yang kedengaran samar-samar di belakang.

Syurga sangat kelihatan seperti bilik sanitari fikir Kadir, atau mungkin ini tempat menunggu sebelum ke syurga atau neraka. Tempat pembersihan, tempat penyucian. Di suatu tempat yang dingin dan berbau seperti penyegar udara lavender. Mungkin juga ini syurga, fikir Kadir.

Tidak lama selepas itu, barulah Kadir menyedari dia sememangnya sedang terbaring di dalam bilik air sebuah hotel.

Telefon bimbit dalam poket seluarnya sedang berbunyi dan bergetar – dimana datang lagu Death Cab tadi. Sambil memicit kepalanya yang masih belum reda sakitnya, Kadir cuba bangun dan menjawab panggilan telefon. Belum sempat disambut panggilan terputus, di skrin telefon bimbit tertera lima belas panggilan yang tidak berjawab. Diperiksanya satu persatu siapa yang cuba menghubunginya. Dua nama yang sama tertera, seorang perempuan bengis yang membencikan dan seorang lagi perempuan yang pernah mencuri hatinya.

Perempuan bengis yang membencikan, Sally The Fat Lioness akan menelefonnya berjuta kali sehari untuk hal berkaitan kerja, atau sebenarnya hal berkaitan kerja yang melibatkan reputasi Sally The Fat Lioness dalam syarikat berbanding kebajikan Kadir sendiri. Perempuan seorang lagi yang pernah mencuri hatinya, Sally The Goddess akan menelefonnya mungkin 785 tahun sekali, untuk hal yang selalunya menduga jiwa dan hati Kadir, bermain teka-teki.

Kadir melihat jam ditangan. Rupanya hampir tiga jam dia pitam dibawah sinki. Hampir tiga jam terlewat menyerahkan laporan pembentangan pada perempuan bengis yang membencikan. Namun yang paling merunsingkan hatinya, adalah memikirkan teka-teki apakah yang perempuan yang pernah mencuri hatinya cuba menduga jiwa dan hatinya sebentar tadi.


bersambung.....


Tuesday, February 9, 2010

Orang Hodoh Cantik: Kudin

..... Kali terakhir ketika situasi yang hampir sama dengan hari ini, kecuali ketika itu kerusi hadapan kereta Kudin tidak basah kerana ketika itu Suzie tidak menari dalam hujan, sebaliknya hari itu Suzie telah mengamuk tidak tentu pasal dan memarahi sepasang kekasih yang sedang bertelingkah kecil mengenai isu tidak menjawab panggilan telefon, yang telah di-tercuri dengar oleh Suzie, yang ketika itu sedang duduk semeja makan bersama Kudin bersebelahan dengan meja pasangan kekasih itu. Dan pengakhiran hari itu seperti biasa, berakhir dengan Suzie menangis dalam pelukan Kudin, setelah ditenangkan oleh Kudin untuk tidak lagi memarahi dan masuk campur urusan pasangan kekasih yang tidak dikenali mereka itu. Dan seperti biasa juga Suzie akan menangis hingga tertidur dikerusi penumpang hadapan kereta Kudin, dalam keadaan memeluk kedua kakinya. Kudin telah mengejutkan Suzie setelah mereka tiba dirumah Suzie. Lalu Suzie bangun keluar dan berjalan dengan lemah dan lesu ke arah pintu rumahnya, cuba mencari kunci rumahnya didalam beg tangan, mencari dengan hati yang kecelaruan, bukan dengan mata. Bila kunci tidak dijumpai Suzie tiba-tiba memaki hamun dan menendang pintu rumahnya, beg tangannya dihempas ke lantai dan bertabur segala isi, ginju, cermin dan set mekap, telefon bimbit, tisu pelembab dan segalanya. Air matanya terburai kembali.

Lalu dengan kelam-kabut jugalah Kudin keluar dari kereta dan berlari untuk menenangkan Suzie, sebelum jiran-jiran terganggu tidur mereka dengan kekecohan itu. Malam itu Kudin duduk menemani Suzie sepanjang malam yang tertidur kali kedua diatas sofa setelah penat tersedu-sedan menangis air mata yang tak pernah kering.

Pada kali yang kesebelum itu pula, jantung Kudin hampir gugur apabila Suzie meniti tebing bumbung diatas sebuah bangunan tinggi, sebelum itu dia menerima panggilan telefon dari Suzie untuk bertemu dengannya dibumbung bangunan itu. Ketika dalam perjalanan fikiran Kudin sudah berlegar pada perkara-perkara yang tidak terduga dan membimbangkan yang mungkin dilakukan oleh Suzie. Untuk kali yang keberapa Kudin berjaya juga menenangkan Suzie, dan seperti biasa dadanya menjadi tempat Suzie mengesat air mata dan menghembus hingus. Malam itu setelah Kudin mengejutkan Suzie dari tidur setelah mereka sampai dihadapan pintu rumahnya, Suzie berjalan dengan lesu dan terhuyu-hayang kearah pintu rumahnya, seperti seorang yang mabuk atau sedang khayal dengan sesuatu. Sampai dihadapan pintu, Suzie tidak membukanya terus, sebaliknya tiba-tiba duduk menyandarinya, mukanya tertunduk kebawah, sepi.

Lama Suzie duduk menyandari pintu rumahnya dalam keadaan itu, Kudin tidak terus beredar dengan kereta kerana bimbang Suzie tertidur semula dihadapan pintu rumahnya sendiri, lalu Kudin tunggu. 10 minit, 15, minit, 20 minit, 25minit dan akhirnya Kudin terpaksa keluar juga dari keretanya kerana memang sah Suzie sudah tertidur kembali. Malam itu Kudin berjaga lagi sepanjang malam memerhatikan Suzie tidur sambil tersedu-sedu diatas sofa. Hatinya keberatan untuk pulang kerana bimbang Suzie akan melakukan cubaan yang membahayakan nyawanya sendiri sekali lagi.

Jadi pada malam ini pula, Kudin terfikir untuk tidak mengejutkan Suzie, tetapi akan mendukungnya masuk kedalam rumah. Walaupun mungkin kurang manis dipandang jiran, tapi Kudin lebih risaukan keadaan Suzie. Sudah beberapa kali mereka bermalam berduaan didalam rumah, tiada siapa yang peduli. Walau teman lelaki Suzie sendiri yang kelihatannya terlalu sering menyakitkan hati Suzie, tidak kiralah siapa dia, atau adakah dia orang yang sama atau terdiri dari beberapa orang. Kudin sudah tidak berminat untuk ambil tahu, ataupun membela nasib malang Suzie dengan membelasah lelaki-lelaki sialan itu. Kudin tahu Suzie akan kembali kepada mereka walaupun berkali dikecewakan, atau sememangnya perempuan ini terlalu mudah untuk kecewa dengan semua perkara.

Dua perkara yang Kudin belajar, pertamanya, Suzie akan melupakan kekecewaannya setelah bangun dari tidur diwaktu pagi setelah kepenatan menangis, segar dan seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Kedua, Kudin juga sedar dia mungkin telah berjaya menjumpai kes sindrom depresi yang mengakibatkan wanita tidak mampu membuka pintu rumah mereka sendiri yang pertama dalam sejarah perubatan psikologi.



..bersambung di lain media (setelah aku selesai berlatih lagu-lagu dan membina keyakinan diri damn it!)