Friday, October 22, 2010

Orang Hodoh Cantik: Ulang Tahun

Hari ini hari jadi Karim. Hari jadi pertama Karim sebagai seorang yatim piatu. Jika dia dan Suraya tidak mengenali Karim dan berkawan dengannya, mungkin tiada siapa tahu atau peduli jika hari ini hari jadi Karim. Walaupun ketika ayah Karim masih hidup pun, jarang-jarang sekali hari jadinya disambut. Jadi sempena menghargai persahabatan mereka, Suraya mencadangkan mereka menyambutnya diatas bukit berhampiran rumah api. Mereka akan berpiknik.

Dia dan Karim bukanlah jenis lelaki yang berpiknik. Tapi memandangkan Suraya kini sudah menjadi sebahagian dari kumpulan sahabat mereka, dan satu-satunya perempuan diantara mereka, maka mereka dengan rela hati bersetuju, walaupun mereka berdua sudah ada rancangan lain.

Diatas bukit mengadap pantai dan laut, diatas bentangan kain corak petak, mereka bertiga duduk mengadap sebiji kek yang bersaiz kecil sedikit dari pinggan. Kek yang dimasak sendiri oleh Suraya. Diatas kek ada sebatang lilin. Tanpa perlu nyanyian selamat hari jadi, Karim tiup lilin, tanpa perlu tepukan dan sorakkan juga selepas itu.

Suraya kemudian keluarkan satu bungkusan dari dalam beg. "Saya jumpa ini di kedai barang lusuh, mungkin banyak sejarah, harap boleh bawa awak nasib yang baik"

Karim sambut bungkusan dari Suraya, membukanya dan melihat topi juruterbang kulit era 30-an yang dilapik bulu tebal di bahagian dalamnya. "Terima kasih Suraya". Karim terus mencuba topi itu sambil tersenyum. Suraya balas dengan satu pelukan mesra.

"Ehem." Dia mencelah. "aku tahu ini tak seberapa, tapi ini pemberian datuk aku. Memandangkan aku tak ada adik beradik lelaki, aku mahu kau terima ini sebagai hadiah." kata dia sambil menghulurkan satu anak kunci kepada Karim. "Kunci apa ini?" Karim tanya. "Petang ni kau ikut aku ke bangsal, nanti kau tahu".

"aku tak kisah dengan kejutan, tapi yang ini buat aku tak senang duduk" Karim beritahu.

"Sabar, ini istimewa"

"Ok. Terima kasih, hadiah apa pun istimewa" Karim senyum lagi.

Dia turut senyum "tak mahu peluk aku?"

"tak."

Mereka bertiga ketawa.

Selesai menghabiskan potongan kek masing-masing kini masanya sudah tiba. Suraya sudah berpuas hati kerana sudah melakukan apa yang dia rasakan patut, serta kesudian dia dan Karim menghabiskan waktu tenang dan berkualiti berpiknik dan menikmati kek hasil air tangannya. Kini Suraya perlu menghormati pilihan dan rancangan mereka berdua. Sambil mengucapkan ucapan selamat dan agar berhati-hati, Suraya duduk di atas bentangan kain corak petak, melambai kepada dua lelaki paling rapat dalam hidupnya itu.

"sudah sedia?" Karim tanya dia.

"setiap tahun"

Selepas membetulkan kedudukan gugel masing-masing di mata, dengan Karim memakai topi juruterbang kulit pemberian suraya, mereka berdua pun meluncur laju dengan basikal masing-masing menuruni bukit yang agak curam itu kearah pantai berpasir dan laut di hadapan mereka. Apabila sudah hampir di kaki bukit, mereka berdua melepas kedua belah tangan dari handel basikal dan mengawal keseimbangan sebaik mungkin agar tidak tersungkur hingga tayar hadapan basikal mereka mencecah ombak yang menyapu pasir pantai.

Dari atas bukit, Suraya melihat dengan debaran hati dan kerisauan. Tapi dia masih mampu tersenyum kerana dia tahu kedua sahabat karibnya itu sedang menghayati keseronokkan.

Hadiah hari jadi paling istimewa, ialah kesudian teman sejati menduga nasib bersama. Bila mereka berjaya mengharungi cabaran setiap ulang tahun kelahiran, mereka akan berjaya mengharungi cabaran sepanjang kehidupan mendatang. Jika jatuh tersungkur dan berdarah sekalipun, semuanya tidak mengapa. Kerana mereka berlajar untuk ketawa dan bangun semula.






bersambung di lain media.......

2 comments:

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

macam astro sambung

Nuha said...

betullah kata disclaimer tu. aku tak paham entri ni. ni akan jadi cerpen ke ape? ah, nmpaknye kna tunggu yg seterusnya